NAIROBI - Polis Kenya menahan suami kepada pelari jarak jauh Agnes Tirop yang dijumpai mati di dalam rumahnya.
Polis berkata, mayat Tirop ditemukan pada Rabu dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian leher.
Atlet berusia 25 tahun itu mewakili Kenya dalam acara 5,000 di temasya Olimpik Tokyo tahun ini dan berada di tempat ke-4 dalam pusingan akhir.
ARTIKEL BERKAITAN: Atlet Kenya dibunuh
Ketua Polis Keiyo North, Tom Makori berkata, Ibrahim Rotich ditahan di Mombasa beberapa jam selepas pihak polis memujuknya untuk menyerah diri.
"Suspek telah ditahan dan kini berada di Balai Polis Changamwe.
"Saya mengesahkan kami telah menahan suspek utama dalam kes ini," katanya.
Badan Penyiasat Jenayah dalam catatan di akaun rasmi Twitter memaklumkan, Rotich ditahan selepas melanggar sebuah lori dalam usahanya melarikan diri ke luar negara.
"Suspek sedang disiasat oleh pegawai kami di Balai Polis Changamwe sebelum didakwa atas tuduhan membunuh," katanya. - Awani