Malaysia aktif dalam Majlis Hak Asasi Manusia

Iklan
Kementerian Luar Negeri

PUTRAJAYA - Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) selepas diberi kepercayaan sebagai ahli majlis pertubuhan itu bagi penggal 2022-2024.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya memaklumkan, pemilihan Malaysia ke MHAM merupakan bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha dan peranan negara ini dalam membina kesepakatan serta menyumbang terhadap kemajuan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Malaysia akan mengambil peluang keanggotaan MHAM kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan dalam memupuk semangat bekerjasama, keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman dan menghormati antara satu sama lain.

"Sebagai ahli MHAM, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan terutamanya kanak-kanak, wanita, orang asli, dan warga tua. Malaysia turut bercadang untuk memperkasa golongan belia terutamanya dalam proses membuat keputusan di semua peringkat," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Kementerian itu turut menjelaskan akses kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat, dan lestari sebagai hak asasi manusia antara yang menjadi keutamaan Malaysia.

"Di persada antarabangsa, Malaysia akan terus membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar.

Iklan

"Pada masa yang sama, Malaysia juga akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan," katanya.

Malaysia sebelum ini telah menjadi anggota MHAM sebanyak dua kali, iaitu pada 2006-2009 dan 2010-2013 di mana negara ini telah mengambil pendekatan yang seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia.

Malaysia sekali lagi meraih undian sebanyak 183 semasa pengundian sempena sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Khamis sekali gus memberi pelantikan Malaysia sebagai ahli MHAM.