GEORGETOWN - Rakyat Pulau Pinang termasuk remaja yang belum divaksin diminta untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua mereka yang belum menerima janji temu untuk suntikan vaksin boleh ke PPV berdekatan selewat-lewatnya 30 Oktober ini.
Menurutnya, ia berikutan PPV yang beroperasi pada waktu ini akan ditamatkan tempoh operasinya pada 31 Oktober.
"Rakyat Pulau Pinang termasuk golongan remaja yang layak diminta untuk,'walk-in' di mana-mana PPV di negeri ini selewat-lewatnya pada 30 Oktober untuk mendapatkan vaksin masing-masing.
"Jangan tunggu sehingga saat akhir kerana PPV yang beroperasi kini akan ditamatkan tempoh operasi pada 31 Oktober ini.
"Selepas tarikh tersebut, mereka yang ingin mendapatkan suntikan akan dirujuk ke fasiliti atau institusi perubatan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sehingga Khamis, Pulau Pinang menunjukkan kadar vaksinasi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) untuk dos pertama adalah 96.8 peratus.
"Bagi dos kedua pula, kadarnya adalah 92.0 peratus manakala bagi golongan remaja (12 hingga 17 tahun), kadar suntikan pada tempoh sama adalah 86.2 peratus bagi dos pertama dan 5.7 peratus bagi dos kedua.
"Sementara itu, untuk suntikan dos ketiga (dos penggalak) kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang membuat persediaan bagi pelaksanaannya dalam tempoh terdekat.
"Senarai PPV termasuk fasiliti hospital serta klinik swasta akan disenaraikan sebagai rujukan umum dan semua janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi memasuki fasa endemik, kerajaan negeri meminta seluruh rakyat Pulau Pinang supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) demi diri, orang tersayang dan komuniti secara menyeluruh.
Beliau berkata, rakyat di negeri ini perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan melakukan ujian saringan kendiri sekiranya bergejala dan mengasingkan diri di rumah.
"Sekiranya gejala bertambah buruk, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat. Sekiranya disahkan positif Covid-19 terdapat empat pusat panggilan disediakan hasil usaha sama kerajaan negeri bersama-sama semua pihak di negeri ini.
"Ia terdiri daripada Pusat Panggilan 24 Jam Covid-19 Pulau Pinang di talian 04291 0110 (setiap hari); Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di talian 04382 7143 / 04382 7142 dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, Pusat Panggilan Covid-19 Kerajaan Negeri di talian 04641 8000 (8 pagi hingga 5 petang setiap hari) dan PgCare Alliance di talian 04642 7777 (10 pagi hingga 5 petang setiap hari) atau boleh emel di pgcarealliance@gmail.com," ujarnya.