Dua beradik mengaku tidak bersalah ugut, cederakan wanita

Iklan
Kedua-dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh secara berasingan pada Jumaat atas pertuduhan melakukan ugutan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita minggu lalu.

IPOH - Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh secara berasingan pada Jumaat atas pertuduhan melakukan ugutan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh, S Gunasilan, 35, dan kakaknya, S Eswari, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Majistret Khir Nizam Jemari.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Gunasilan didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan mangsa, K Shanmuga Priya, 38, dengan mengugut untuk membunuhnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Raja Perempuan Mazwin di sini kira-kira jam 3.10 petang pada 5 Oktober lalu.

Iklan

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Melati Diana kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan dengan tidak boleh mendekati mangsa.

Iklan

Kes disebut semula pada 29 November ini untuk serahan dokumen.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Eswari didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama yang juga bekas majikannya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Khir Nizam membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 November ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar dan Amalina Harun manakala Gunasilan diwakili peguam Mohd Khazali Yin dan Eswari diwakili peguam Mahinderjit Singh.