TAPAH - Seorang lelaki ditemukan lemas ketika mandi di kawasan rekreasi air terjun Lubuk Degong, Bidor di sini pada Jumaat.
Mangsa, R Tharsan, 20, yang dikatakan mandi bersama rakannya kemudian dilaporkan hilang selepas naik ke kawasan atas air terjun berkenaan kira-kira jam 4.20 petang pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa naik sendirian mengikut denai manakala rakannya yang juga pelajar kolej berusia 20 tahun berpatah balik untuk menjaga barang yang dibawa.
"Selepas dua jam mangsa tidak turun, rakannya pergi ke perkampungan orang asli untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bidor sekitar jam 9 malam.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama penduduk orang asli sehingga jam 11 malam.
Menurutnya, operasi kemudian diteruskan pada Jumaat melibatkan 55 pegawai dan anggota polis dan bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"SAR bermula pada jam 8 pagi dan pencarian tertumpu di kawasan lubuk selepas pasukan menemukan selipar dipercayai milik mangsa di atas batu.
"Mangsa akhirnya dijumpai di dasar lubuk kira-kira jam 11 pagi. Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk bedah siasat. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.40 pagi," katanya.