EMPAT tahun lalu, Nur Intan Badriah Ghazali, 26, lalui detik cemas apabila dirinya diuji dengan situasi di luar jangkaan.
Kejadian itu berlaku di rumah rakannya apabila dapur mudah alih yang digunakan untuk memasak bagi meraikan sambutan hari lahir salah seorang rakan mereka tiba-tiba meletup.
Dia terpaksa ditahan di hospital selama hampir dua bulan lamanya. Jika tidak disegerakan rawatan, nyawanya waktu itu diambang maut.
Lebih parah lagi, rakan-rakannya tidak tahu langsung bantuan awal yang patut mereka berikan untuk kurangkan kesakitan dan tahap kecederaan dialaminya.
Itu kisah tragis Nur Intan. Bayangkan jika anda menjadi mangsa atau melihat di depan mata mangsa lain melecur akibat kebakaran atau terkena air panas.
Apa tindakan yang akan diambil, tahukah anda bagaimana cara untuk mengurangkan risiko melecur?
Sebenarnya, apabila berlaku kes-kes mengejut seperti terbakar sehingga menyebabkan lecuran tidak kira di rumah atau di pejabat, terdapat beberapa rawatan awal yang perlu diberi kepada mangsa sebelum dibawa ke unit kecemasan.
Doktor Pakar Perunding Kecemasan, IHH Healthcare Malaysia, Dr Jeewadas Velummylum Baladas mendedahkan kaedah-kaedah rawatan yang dikongsikan kepada SinarPlus.
Apa kaedahnya?
Segera hentikan pembakaran yang sedang berlaku, itu tindakan pertama yang setiap orang perlu lakukan. Jangan sesekali biarkan ia merebak dan berpanjangan.
Segera alihkan objek yang panas daripada mangsa. Paling penting, pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan atau tiada objek yang menghalangnya untuk bernafas.
Jika pakaian yang dipakai oleh mangsa terbakar, tanggalkan baju tersebut perlahan-lahan.
Jangan pula direntap atau ditanggal secara memaksa. Bimbang pakaian yang sudah melekat pada kulit akan memburukkan lagi keadaan.
Kemudian, periksa tahap kebakaran dan anggota badan yang terlibat. Bantu mangsa dengan mengalirkan air paip sekurang-kurangnya 10 minit pada bahagian yang terbakar, kemudian bahagian itu perlu ditutup sebelum mangsa dibawa ke hospital atau klinik berdekatan, ataupun terus telefon ambulans dan bawa mangsa kebakaran ke Jabatan Kecemasan Hospital sekiranya tahap kebakaran serius..
Kenal pasti tahap pesakit
Tahap keseriusan mangsa kebakaran atau melecur boleh di bahagikan kepada tiga iaitu:
Tahap satu - Berlaku seakan-akan kesan terbakar matahari (sun burn) dan mempunyai sedikit tanda pada kulit mangsa.
Tahap dua (partial thickness) - Melibatkan lapisan bawah kulit iaitu epidermis dan dermis. Bahagian terbakar akan menjadi warna putih atau merah ceri, bahagian luka menjadi lembap dan berlaku pembentukan lepuh (blister), mangsa akan terasa sakit yang kuat.
Tahap tiga (full thickness) - Melibatkan lapisan kulit sehingga ke dermis dan lapisan lemak. Bahagian yang tercedera menjadi kering, luka mungkin mengalami pendarahan, bahagian tercedera menjadi warna kelabu atau hitam. Pesakit merasa sedikit sakit atau mungkin tidak merasa sakit akibat daripada kerosakan saraf yang dialami.
Lazimnya, kes-kes kebakaran yang perlu dirawat diklasifikasikan kepada tiga faktor iaitu tahap ketebalan lecuran, skala kesakitan dan bahagian badan yang terlibat.
Ia mungkin berpunca daripada bahan kimia, cecair panas, renjatan elektrik atau terdedah kepada api dan asap yang banyak.
Kebakaran yang melibatkan bahagian penting anggota badan seperti muka, leher, tapak tangan, tapak kaki dan kawasan sendi perlu segera dibawa ke unit kecemasan untuk dirawat.
Boleh guna ubat tradisional?
Selain kaedah rawatan hospital, mungkin ramai yang cuba mempraktikkan penggunaan ubat-ubatan atau kaedah tradisional untuk merawat kesan melecur.
Di media sosial banyak info mengatakan madu atau air gula boleh disapukan di tempat luka kerana melecur dan terbakar.
Persoalannya, adakah kaedah ini tradisional benar-benar berkesan? Ini jawapan Dr Jeewadas.
Ingin saya tekankan di sini, ubat-ubatan tradisional dan petua-petua terdahulu tidak digalakkan untuk diamalkan. Jika disapu pada bahagian yang terbakar, bimbang boleh mengundang berlakunya jangkitan kuman.
Isu yang perlu diambil berat, ubat-ubatan tersebut langsung tidak diperakui keberkesanannya secara perubatan untuk membantu menyembuhkan luka kerana kebakaran.
Jadi, pastikan setiap rumah ada peti pertolongan cemas selain alat pemadam api menjadi salah satu perkara penting yang perlu ada di kebanyakan tempat.
Alat ini boleh digunakan ketika tindakan awal memberi rawatan kepada pesakit sebelum sampai ke klinik ataupun hospital.
Peti pertolongan cemas wajib diisi dengan plaster, pembalut luka dan pembalut kawasan bengkak, gauze (kain kasa perubatan), kapas, povidone iodin, micropore dan ubat penahan sakit seperti paracetamol.