NEW DELHI - Satu laporan global menunjukkan India mengalami 'kebuluran serius' di belakang negara jiran Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dalam kajian yang meliputi 116 negara.
Indeks Kebuluran Global tahunan yang diterbitkan pada Khamis itu mendapati hanya 15 negara yang lebih teruk berbanding India.
Kajian diterbitkan bersama badan kemanusiaan Ireland, Concern Worldwide dan pertubuhan bantuan Jerman, Welthungerhilfe itu, berdasarkan faktor seperti kekurangan zat makanan, kanak-kanak kurang berat badan dan bantut, dan kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Skor India berada dalam kategori 'kebuluran serius' sementara keadaan di Madagascar, Yaman, Sudan Selatan dan Syria dianggap 'membimbangkan'.
Sekitar 811 juta orang di seluruh dunia mengalami kebuluran dan 41 juta berada di ambang kebuluran, menurut Welthungerhilfe dalam satu kenyataan.
"Pandemik Covid-19 memburukkan lagi masalah pemakanan di banyak negara di bahagian selatan dunia, dan berjuta-juta keluarga kehilangan mata pencarian mereka. Namun, kebuluran terus dicetuskan terutamanya disebabkan perang dan perubahan iklim," kata Pengerusi Lembaga Agensi Jerman Marlehn Thieme,
Dapatan kajian itu turut menunjukkan terdapatnya hubungan langsung antara konflik keganasan dan tahap kelaparan.
"Lebih separuh daripada mereka yang kurang pemakanan tinggal di negara-negara dilanda konflik, keganasan, dan tidak stabil," kata Thieme. - Bernama