SESI Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS) ke-11 membincangkan beberapa perkara utama boleh laksana di samping menyokong langkah memperkukuh kerjasama statistik, termasuk Rangka Kerja ASEAN-Bantu-ASEAN (AHAF) bagi membangunkan kapasiti dan projek rintis penggunaan data raya untuk mempertingkatkan statistik rasmi ACSS.
Mesyuarat itu dihoskan secara maya oleh Jabatan Perangkaan Brunei Darussalam sebagai pengerusi ACSS 11 dan dihadiri oleh ketua-ketua Pejabat Statistik Negara ASEAN.
Sesi dua hari bermula 12 Oktober itu turut memperincikan usaha pembangunan templat metadata untuk melaksanakan Rangka Kerja Pelaksanaan Data Terbuka ACSS, menyemak Rangka Kerja Luas bagi Pembangunan Mampan Statistik ASEAN (BFSDAS) selain menghasilkan laporan sintesis berkualiti serta buku panduan metodologi yang ditambah baik bagi data IMTS.
Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang mewakili Malaysia berkata, ACSS 11 menyokong projek rintis penggunaan data raya untuk dilaksanakan pada 2022.
Antara topik yang dipilih oleh anggota ASEAN adalah kekosongan pekerjaan, statistik pelancongan, statistik harga, ekonomi Internet, banci hibrid dan sentimen ekonomi.
Beliau berkata, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai Kumpulan Kerja Sistem Akaun Negara (WGSNA) 2021-2022 dan menerajui usaha bagi menyokong templat metadata untuk Sistem Indikator Akaun Negara pada sesi itu.
"Sejajar dengan tema Program Kerja ACSS 2021 iaitu ‘Membangunkan Statistik Berdaya Tahan untuk Pemulihan dan Selepas Covid-19’, Malaysia telah berkongsi amalan terbaik dan pengalaman mengenai inisiatif data raya...membawa kepada pembangunan dan pelaksanaan yang inovatif, dipercayai dan tepat pada masanya apabila statistik sangat diperlukan untuk menangani cabaran Covid-19,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2011, ACSS meneruskan usaha untuk menyediakan statistik ASEAN yang relevan, tepat waktu dan boleh banding dalam menyokong pemantauan penyepaduan, dasar berasaskan bukti dan pembuatan keputusan ASEAN.- Bernama