SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol 'test and release' (T&R) dengan syarat perjalanan ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan tersebut melibatkan pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco kerajaan negeri, ahli Parlimen serta pegawai kerajaan.
"Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan (business travellers) dalam waktu terdekat.
"Antara syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kelulusan.
"Selain itu, menjalani ujian PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia serta menjalani ujian PCR Covid-19 setibanya di mana-mana pintu masuk negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Presiden Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berkata, syarat berkenaan terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja.
Menurutnya, syarat-syarat itu juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.
"Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.
"Patuhilah setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” kata beliau.