DBKL tambah 5,000 CCTV di sekitar ibu negara

Iklan
DBKL akan memperluas dan menambah baik pengurusan pengangkutan bersepadu di sekitar ibu negara menerusi pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri kecerdasan buatan (AI).(Gambar hiasan). - Foto 123rf

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluas dan menambah baik pengurusan pengangkutan bersepadu di sekitar ibu negara menerusi pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri kecerdasan buatan (AI).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, 3,000 CCTV yang mempunyai fungsi AI telah dipasang bagi pengurusan sistem trafik pintar, pemantauan jenayah, pemantauan komuniti dan pemantauan aset DBKL.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, baki 2,000 CCTV lagi akan dipasang menjelang akhir tahun ini untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia bagi pemantauan jenayah.

"Sistem AI yang diguna pakai, boleh mengesan kejadian dan situasi masa nyata seperti jalan berlubang, tumpahan simen dari lori serta penjaja haram di jalanan.

Iklan

"Melalui notifikasi peristiwa tersebut, ia amat membantu DBKL dalam melaksanakan kerja-kerja pemantauan, pencegahan, penguatkuasaan dan juga penyelenggaraan serta telah terbukti dapat mengurangkan penggunaan bajet penyelenggaraan pencegahan oleh DBKL," katanya dalam ucapan perasmian penjenamaan semula Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) kepada nama baharu Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di sini pada Jumaat.

Shahidan berkata, sistem terbaru itu dilengkapi dengan kebolehan untuk mengumpul, memproses dan memberi maklum balas mengenai data yang dikumpul dari sekitar ibu kota yang mampu membantu DBKL menggunakan data secara cekap dan efektif untuk tindakan lanjut.

Iklan

Beliau berkata, pelbagai sistem tunggal yang sedang digunakan oleh DBKL seperti sistem pelesenan, sistem penguat kuasa dan sistem pengangkutan seperti sistem lampu isyarat serta Go KL City Bus akan diintegrasikan kepada sistem bandar pintar tersebut.

Menurut Shahidan pemasangan CCTV dan sistem berintegrasi itu juga mampu membantu pemantauan dan pencegahan aktiviti vandalisme serta membantu menambah baik sistem penyelenggaraan dan perlindungan aset.

"Selain itu, usaha DBKL juga melibatkan pemasangan 140 unit VMS (Sistem Pemantauan Kenderaan) jenis warna penuh, pemasangan 42 butang panik di taman awam serta pemasangan 78 unit pembesar suara yang akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pemantauan kerosakan jalan, meneliti garisan jalan yang telah pudar, kerosakan lampu jalan dan lampu isyarat, pokok tumbang serta pengesanan kesalahan trafik yang menyebabkan kesesakan juga boleh dilakukan menerusi sistem tersebut. - Bernama