Aliran trafik ke utara meningkat, terkawal

Iklan
Aliran trafik di Lebuhraya Utara - Selatan berhampiran Tapah menunjukkan peningkatan pada Jumaat namun terkawal.

IPOH - Aliran trafik di Lebuhraya Utara - Selatan menghala ke utara menunjukkan peningkatan, namun bergerak lancar dan terkawal pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keadaan semasa di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta laluan susur keluar dan masuk di setiap plaza tol juga berada dalam keadaan terkawal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aliran trafik bagaimanapun dijangka bertambah pada hujung minggu ini kerana orang ramai mengambil peluang bercuti di kampung halaman.

"Trend peningkatan bilangan kenderaan dijangka meningkat di kedua-dua arah Lebuhraya Utara-Selatan Konsesi PLUS sehingga Selasa ini.

Iklan

"Selain itu, keadaan di Lebuhraya WCE (Batu 5, Teluk Intan - Beruas) tidak menunjukkan peningkatan aliran kenderaan setakat hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Perak, Kelantan dan Kedah turut menunjukkan peningkatan aliran kenderaan.

Iklan

"Peningkatan itu bermula tengah hari ini (Jumaat) dari arah Gerik menghala ke arah Jeli, namun keadaan lalu lintas masih lancar di skala 3.

"Terdapat sedikit peningkatan bilangan kenderaan namun tiada kesesakan luar biasa dikesan di semua lain-lain Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri serta Bandaran," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, terdapat sedikit peningkatan aliran trafik di sekitar pusat bandar Ipoh yang mana peningkatan jumlah trafik dan kesesakan lalu lintas akan bergerak perlahan.

"Punca yang dikenal pasti adalah waktu puncak pengguna jalan raya yang ingin pulang ke rumah selepas waktu kerja yang mana merupakan pergerakan setempat," katanya.

Tambah beliau, Pasukan Pemantauan Lalulintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak telah melakukan rondaan secara berkala dan pasukan bantuan kawalan lalu lintas (Jammed Skuad) di seluruh negeri bermula Khamis.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke destinasi yang hendak dituju bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Selain itu, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.