BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail membidas sikap sesetengah peminat yang mendesak agar jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan susulan prestasi hambar pasukan negara dalam beberapa perlawanan terakhir.
Menurutnya, semua pihak perlu berfikiran positif dan rasional dengan perancangan Cheng Hoe untuk cuba menyediakan pasukan terbaik menghadapi saingan Piala AFF Disember ini dan Kelayakan Piala Asia pada Januari tahun depan.
"Kita jangan terburu-buru, bila kalah saja nak suruh letak jawatan. Sebelum ini, netizen minta jangan bawa ramai pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan coach Tan senaraikan beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini.
"Tetapi, apabila kalah coach Tan kena kritik dan netizen minta beliau letak jawatan. Padahal itu juga permintaan netizen yang mahu ramai muka baharu dalam pasukan. Kalau macam tu, suruh netizen jadi jurulatih dan kita tengok menang atau tidak pasukan Harimau Malaya.
"Apa yang sedang dibuat oleh coach Tan sekarang adalah beliau sedang membentuk satu pasukan yang solid untuk menghadapi pertandingan sebenar. Kita kena rasional dan jangan apabila kalah saja suruh tukar jurulatih," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Skuad Harimau Malaya dikritik susulan aksi kurang memberangsangkan pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Asia 2023 dengan merekodkan hanya satu kemenangan dan dua kekalahan di Dubai Jun lalu.
Malah, persembahan skuad negara dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1 baru-baru ini juga menyaksikan Harimau Malaya dibelasah 0-4 oleh Jordan dan 1-5 oleh Uzbekistan.
Ia sekali gus mengundang desakan daripada peminat Harimau Malaya yang mahu Cheng Hoe digantikan oleh jurulatih lain menjelang aksi Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia.
Mengulas lanjut, Jamal Nasir meminta peminat Harimau Malaya supaya bersabar dan melihat kekalahan tersebut sebagai satu pengajaran serta pengalaman yang bagus kepada skuad negara.
"Apa yang penting sekarang ini kita nak pasukan negara bergerak ke hadapan. Jangan kita fikir dengan kekalahan ini kita tidak boleh bangkit lagi. Kalau semua orang nak kritik, macam mana bola sepak kita nak naik semula?
"Sekarang ini apa yang dibuat oleh coach Tan nampak ada hasil. Beberapa pemain baharu yang dibawa oleh beliau menonjol ketika aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan. Itu menunjukkan kita ada ramai pemain yang boleh dipilih untuk mewakili negara.
"Sebab itu, perlawanan persahabatan itu diadakan untuk mencuba pemain baharu dan ia langkah tepat dilakukan oleh coach Tan. Bagi saya, kekalahan pasukan negara ini ada hikmahnya. Jangan kita sempitkan pemikiran kita.
"Kalau apa yang dibuat oleh coach Tan untuk mencuba pemain baharu ini pun netizen kata salah, cara apa yang boleh dibuat lagi untuk menambah baik pasukan negara," katanya.