Persidangan UMNO cawangan bincang persiapan perkukuh parti

Iklan

SHAH ALAM - Persidangan UMNO cawangan yang berlangsung pada Jumaat dilihat akan memberi intipati baru dalam membincangkan agenda memperkukuhkan parti tersebut.

Dijangka antara isu yang dibangkitkan dalam persidangan itu adalah persiapan dalam menguatkan barisan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Iklan
Iklan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persidangan UMNO cawangan merupakan medan yang tepat bagi ahli di peringkat akar umbi membincangkan agenda memperkukuhkan parti.

Persidangan UMNO cawangan berlangsung mulai hari ini sehingga 30 November sebelum disusuli Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian pada 11 dan 12 Disember serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember depan.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu ahli UMNO di negeri itu memperkemaskan jentera parti sempena persidangan UMNO cawangan yang bermula hari ini bagi menjamin kemenangan dalam (PRU15) yang akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, persidangan cawangan akan menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Iklan

"Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan persidangan cawangan segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat Bahagian dan fokus kita pada Bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.

"Ketepikan dulu soal jawatan dalam Bahagian atau soal calon pada PRU akan datang, yang penting kita perkemaskan jentera parti bagi menjamin kemenangan ketika berhadapan PRU nanti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pemimpin serta ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji dalam keputusan PRU ke-14 lepas.

Bagaimanapun, Pas Perak menasihatkan UMNO supaya kekal meneruskan hubungan dengan parti itu bagi memastikan penyatuan parti Melayu-Islam dipertahankan pada PRU15.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, tindakan UMNO untuk tidak mempertahankan kerjasama di antara parti-parti yang majoriti Melayu-Islam akan membawa perubahan besar kepada landskap politik negara.