Penuntut UUM teruja pulang ke kampus

Iklan
Abd Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohammad Fadzil pada Program Jom Kembali ke Universiti di Stesyen Minyak Petronas Sungai Besar di sini pada Jumaat.

SUNGAI BESAR - Dua penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) teruja dan tidak sabar pulang semula ke kampus bagi mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.

Iklan
Iklan

Amira Hadirah Nor Hasmadi, 22, dan Mohammad Fadzil Samsuddin, 22, pulang semula ke kampus UUM menaiki bas yang diselaraskan pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Amira Hadirah yang juga penuntut tahun ketiga dalam jurusan pentadbiran perniagaan berkata, lebih setahun dia dan rakan penuntut lain tidak mengikuti pembelajaran secara bersemuka selepas negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Iklan

"Saya sempat mengikuti pembelajaran bersemuka hanya setahun di kampus dan kemudian selebihnya kami banyak menghabiskan masa mengikuti pembelajaran di rumah," katanya ketika ditemui pada Program Jom Kembali ke Universiti di Stesyen Minyak Petronas Sungai Besar di sini pada Jumaat.

Amira Hadirah

Iklan

Amira Hadirah yang menetap di Kampung Sungai Apong di sini berkata, suasana pembelajaran bersemuka di kampus dan di rumah jauh berbeza.

"Kalau di kampus saya boleh fokus sepenuhnya kepada pembelajaran, tetapi apabila di rumah banyak komitmen lain yang perlu dilakukan termasuk membantu keluarga menambah sumber pendapatan dengan menjual burger dan sebagainya," katanya.

Penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Mohammad Fadzil Samsuddin, 22, berkata, banyak cabaran perlu dilalui sepanjang sesi pembelajaran secara maya.

Mohammad Fadzil yang menetap di Kampung Sungai Haji Dorani berkata, sudah tentu masalah capaian internet perlahan menjadi halangan utama setiap kali mengikuti sesi pembelajaran.

"Saya terpaksa beli pelan data lebih mahal untuk akses internet, tetapi masalah talian perlahan di kawasan rumah tetap berlaku.

"Selain itu, pembelajaran secara maya ini juga banyak kekurangan apabila sukar mendapat kerjasama baik dalam kalangan ahli kumpulan dalam menyiapkan tugasan," ujarnya.

Dalam pada itu Ketua Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam, Noor Saadah Mohammad Yusof, berkata, program itu anjuran pihaknya yang bekerjasama dengan Majlis Belia Daerah (MBD) Sabak Bernam.

Katanya, seramai 39 penuntut UUM dihantar pulang menaiki bas dengan dua daripada mereka berasal dari Sabak Bernam pada Jumaat.

"Kita harap program ini dapat membantu penuntut pulang ke kampus dengan lancar terutama dalam keadaan negara masih berdepan dengan pandemik," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, program penghantaran pulang penuntut juga diteruskan di pekarangan Bangunan UMNO Bahagian Sabak Bernam pada jam 9.30 pagi Sabtu.

"Dalam soal ini kita ketepikan semua perbezaan dan fahaman politik, sebaliknya terus membantu mereka pulang ke kampus dengan selamat," katanya.