SHAH ALAM - Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa UMNO dan Pas mengisytihar 'perang' terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam adalah biadab.
Menurut Noraini, dakwaan Menteri Kewangan tersebut secara tidak langsung menunjukkan kedangkalannya tentang erti demokrasi.
"Ruang demokrasi yang sepatutnya lebih 'segar' dengan wujudnya pelbagai kerjasama politik selepas PRU14 telah disempitkan dengan kenyataan yang sengaja membangkitkan perasaan benci.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Hati-hati, jangan terlalu celupar'
"Tindakan itu, bukan sahaja menimbulkan keresahan malah ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Noraini, sebagai menteri dan pemimpin negara, perkara melibatkan isu perkauman tidak wajar dibangkitkan Guan Eng.
"Sehubungan itu, Wanita UMNO mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat beliau (Guan Eng) di bawah Akta Hasutan," ujarnya.
Noraini turut memberitahu, idea koalisi (penggabungan) parti-parti politik pelbagai kaum adalah tidak asing buat UMNO.
Sebagai anggota komponen yang penting dalam BN, UMNO telah menerajui negara selama enam dekad dalam keadaan aman dan sejahtera.
"Justeru, sementara UMNO mengemudi penyatuan Melayu tentunya kerjasama politik meraikan kepelbagaian kaum dan agama akan tetap dijaga seperti yang dilaksanakan selama ini," terangnya lanjut.
Semalam menerusi laporan sebuah portal, Guan Eng menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu 'pengisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.
Bagaimanapun, selepas itu frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.
Dakwaan Guan Eng itu dibuat susulan UMNO dan Pas secara rasminya menjalinkan kerjasama ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.