Kanak-kanak 3 tahun lemas terjatuh dari rumah bot

Iklan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, pada Jumaat. - Gambar hiasan

HULU TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, di sini pada Jumaat.

Kejadian berlaku pada jam 8.20 malam ketika mangsa, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman sedang bercuti di kawasan peranginan itu bersama ahli keluarganya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, keluarga mangsa dilaporkan bertolak dari jeti Pengkalan Gawi ke Tasik Kenyir dengan menaiki rumah bot pada jam 3 petang.

"Ketika bapa mangsa sedang mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Isyak pada jam 8.20 malam, rakannya memaklumkan Muhammad Al-Fateh terjatuh dari rumah bot dan terus tenggelam.

Iklan

"Seorang kakitangan rumah bot bertindak terjun ke dalam air dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak ini namun mangsa tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan pernafasan," katanya pada Sabtu.

Menurut Rohaimi, mangsa yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu dibawa ke jeti Pengkalan Gawi menggunakan bot laju namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam.

Iklan

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan bedah siasat. Saya menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.