KUALA TERENGGANU - Jalinan kerjasama rasmi antara Pas dan UMNO bagi menyatukan umat Islam terutama dalam kalangan Melayu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama yang dijalinkan adalah melibatkan parti-parti politik Melayu termasuk Bersatu.
"Memang kita bekerjasama dengan parti terutamanya parti Melayu. Kita dapati orang Melayu berpecah, orang Cina tak berpecah.
"Orang Cina pakat undi DAP, MCA pun undi DAP, Gerakan pun undi DAP. Kita Melayu ni banyak sangat parti.
"Jadi, kita perlu menyatukan parti orang Melayu. Parti orang Melayu ialah Pas, UMNO dan Bersatu. PKR dan Amanah bukan parti Melayu. Sebab itu kita bekerjasama dengan parti Melayu termasuk Bersatu dalam kerajaan," katanya.
Beliau berkata, kerjasama kali ini bukanlah yang pertama malah pernah menjalinkan kerjasama dalam pelbagai isu global.
"Ini bukan kali pertama kita kerjasama, dah banyak kali. Kita pernah bekerjasama dalam isu Palestin, Bosnia dan Myanmar," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan tazkirah bulanan di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, hubungan rasmi antara dua parti itu tidak meminggirkan bukan Islam.
"Tidak timbul isu rasis dalam kerjasama ini kerana dalam Pas kita ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
"Kita juga telah bertemu dengan pemimpin MIC dan mereka memberikan kerjasama yang sangat baik," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerjasama itu turut disambut baik di peringkat akar umbi.
"Alhamdulillah, ahli Pas menerima baik kerjasama ini dan kita dapati kerjasama yang terjalin itu turun hingga ke peringkat bawah, bukan setakat pemimpin UMNO sahaja.
"Ini dibuktikan menerusi dua PRK yang telah dimenangi BN sebelum ini iaitu di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih. Kita tunggu PRK Dun Rantau pula," katanya.