PORT DICKSON- Orang ramai yang berani menegur individu lain yang membuang sampah merata-rata akan diberikan penghargaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata, pihaknya akan memberi penghargaan itu termasuk kepada mereka yang merakam perbuatan dan membantu SWCorp mencari individu yang cuba membuang sampah.
"Menerusi kempen ‘Berani Tegur’ yang dilancarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, SWCorp sangat menghargai mana-mana individu yang berani memberikan teguran tersebut.
"Kita akan memberikan penghargaan itu kepada mana-mana individu yang berani menegur, merakam gambar dan memuat naik ke dalam media sosial perlu dilihat sebagai hero dalam menjaga kebersihan," katanya selepas program Cabaran Kayuhan Negeri Sembilan Bersih sempena Hari Sukan Negara di Pantai Cahaya Negeri, di sini pada Sabtu.
Katanya, kempen ‘Berani Tegur’ ini ditujukan kepada golongan yang suka membuang sampah di merata-rata tempat.
"Mereka ini perlu diberikan kesedaran dan tidak sepatutnya membuang sampah terutama di lebuh raya atau kawasan tumpuan pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 73 orang peserta mengambil bahagian dalam cabaran Kayuhan Negeri Sembilan Bersih bersempena sambutan Hari Sukan Negara pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober.
Menurut Ismail, pelaksanaan program seumpama ini dapat menerapkan rasa tanggungjawab terhadap individu untuk memastikan kebersihan persekitaran kawasan menjadi tanggungjawab bersama dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
"Inisiatif seperti ini diharap dapat menjadikan kita sebagai seorang rakyat Malaysia yang lebih prihatin terhadap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal atau sampah itu sendiri," katanya.
Program anjuran SWCorp membawa pendekatan menjaga kebersihan sambil beriadah atau bersukan dengan para peserta berbasikal akan berkayuh dan berhenti di kawasan persinggahan untuk menjalankan aktiviti mengutip sampah atau plogging.
Pelepasan peserta kayuhan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik di hadapan Padang Majlis Bandaraya Seremban dan melalui jalan sejauh 50 kilometer menuju ke Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.
Turut hadir, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn.Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin.