DALAM memberi khidmat kepada masyarakat dan negara, Perodua telah menyumbang tiga unit Bezza kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor (IPK Selangor) untuk digunakan sebagai kenderaan peronda.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Bezza ini telah dilengkapi dengan peralatan polis termasuk radio dan lampu beacon akan digunakan di IPK Selangor, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman (JPJKK Bukit Aman) serta Polis Daerah Hulu Selangor (IPD Hulu Selangor).
"Selama 26 tahun Perodua bertapak di Selangor, kami dapat beroperasi secara efektif tanpa rasa bimbang kerana usaha keras Polis Diraja Malaysia dan khususnya IPK Selangor dalam menjaga keselamatan, keamanan dan keharmonian masyarakat.
"Kami berharap agar sumbangan kami dapat diterima oleh pihak IPK Selangor sebagai tanda terima kasih kami di atas keteguhan, keadilan, dedikasi dan keberanian mereka. Setinggi penghargaan buat mereka,” katanya.
Upacara penyerahan telah diadakan di IPK Selangor, Shah Alam pada hari Selasa yang lalu, di mana Datuk Zainal telah menyampaikan kunci kepada Ketua Polis Selangor Comm Datuk Noor Azam Jamaludin.
Turut hadir adalah Ketua Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, SAC Datuk Kumaran Karuppannan; Ketua Penolong Pengarah Koordinas Sumber Sokongan Bukit Aman, SAC Tuan Sukardi Tulus; serta Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato Dr Zahari Husin.
"Perodua Bezza merupakan kenderaan peronda yang sesuai kerana ia boleh dipercayai, lasak, mudah dipandu dan cekap kos dari segi penyelenggaraan serta penggunaan bahan api.
"Selain itu, saiz Bezza yang kompak memudahkan ia dikendali, terutamanya di kawasan yang sempit. Akan tetapi, walaupun saiznya kompak, ruang dalamannya sangat luas.
"Dengan rangkaian servis kenderaan yang terbesar di Malaysia, saya yakin bahawa pihak polis akan mendapati Bezza ini memenuhi dan menepati keperluan tugasan mereka,” Ujar Zainal.