JITRA - Kerajaan terpaksa membawa masuk 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan susulan rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang walaupun ditawarkan gaji lumayan.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini menyebabkan syarikat terutama di ladang sawit mengalami kekurangan pekerja terutama untuk kerja-kerja menuai berikutan rakyat tempatan menganggap pekerjaan itu sukar dilakukan.
Menurutnya, walaupun terdapat syarikat perladangan menawarkan pendapatan lumayan sehingga melebihi RM2,000 termasuk elaun dan bayaran kerja lebih masa, namun pekerja tempatan masih tidak dapat memenuhi keperluan negara.
"Walaupun kita bawa masuk pekerja asing, pekerja tempatan masih boleh buat kerja menuai jika mahu. Kebanyakan mereka beritahu kerja ini susah dan mereka tidak mampu pikul buah sawit yang berat.
"Gaji bekerja di ladang lumayan sebenarnya, ada syarikat bayar gaji pokok RM1,200 ditambah insentif dan kerja lebih masa boleh cecah lebih RM2,000 sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Bandar Darulaman, pada Sabtu.
Zuraida berkata, sekiranya negara tidak perlu bergantung kepada pekerja asing dalam sektor perladangan, kos untuk membawa mereka boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja tempatan.
"Tetapi itulah orang tempatan tak bersedia, mereka tak mahu kerja di ladang," katanya.
Sebelum ini Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diberikan kelulusan untuk membawa 32,000 pekerja asing untuk dihantar ke ladang-ladang sawit seluruh negara bagi melakukan kerja menuai berikutan kekurangan pekerja tempatan.
"Pekerja asing ini dijangka tiba selewat-lewatnya awal bulan hadapan dan akan terus dibawa ke ladang yang memerlukan kerja tuaian. Jumlah itu mencukupi dan kita tidak benarkan mereka ambil pekerja asing ini untuk tujuan lain,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan kemasukan 32,000 pekerja asing itu dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) dan kini dalam proses kemasukan ke negara ini.
"Oleh kerana harga sawit tinggi ketika ini, kita perlu cepat membawa pekerja masuk untuk elak buah terbiar dan reput yang akhirnya menyebabkan kerugian.
"Hasil jualan minyak sawit dijangka meningkat kira-kira 40 peratus, ia mampu memberi pulangan dalam RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini," jelas beliau.
Zuraida turut memaklumkan, kesan kenaikan harga minyak sawit yang kini mencecah lebih RM5,000 satu tan bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil yang turut beroleh peningkatan dalam pendapatan.
"Kita bersyukur dalam negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19, komoditi negara terus mendapat pasaran tinggi, kerana adanya permintaan dan bekalan,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, nilai eksport pelbagai komoditi negara mencecah RM137.4 bilion dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan permintaan pasaran yang masih tinggi ketika ini.