Antivaksin: Polis siasat dua individu sebar berita palsu

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu dipercayai sebagai antivaksin yang menyebarkan berita palsu berkenaan kematian berkaitan pemberian vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan 'profiling' daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Iklan
Iklan

"Kes pertama berhubung penularan klip video seorang wanita yang mengaitkan kematian dua orang murid sekolah di Ipoh akibat suntikan vaksin.

"Kes kedua adalah melibatkan ciapan pemilik akaun Twitter Khalid@khalids mengenai kematian 41 orang guru disebabkan suntikan vaksin," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sinar Harian pada 29 September melaporkan bahawa dua pelajar yang didakwa maut akibat divaksin itu sebenarnya maut akibat penyakit hipertensi kronik pada 18 Julai manakala seorang dari mereka meninggal dunia akibat sakit jantung pada 17 September.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kematian kedua-dua remaja berkenaan tiada kaitan dengan pemberian vaksin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) hanya bermula pada 20 September.

Iklan

Sinar Harian pada 9 Oktober turut melaporkan berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap pengguna Twitter yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksinasi.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, kes pertama disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentatan kepada awam) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan ( sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

"Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana memfitnah), Seksyen 505(C) (dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain)," jelasnya.

Tambahnya, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.