Ibu bapa lega bila sekolah kembali dibuka

Iklan
Gambar hiasan. - Foto123rf

LANGKAWI -"Saya rasa lega apabila anak saya kembali ke sekolah. Kalau boleh sekolah buka cepat sikit (untuk semua murid),” kata Amirul Rashid Arshad, 37, mengenai pembukaan secara fizikal sekolah bagi murid sekolah rendah tahap satu di Langkawi bermula pada Ahad.

Anaknya, Muhammad Ashraf Iman, 9, pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Ayer Hangat adalah antara kumpulan pertama murid Tahun Satu, Dua dan Tiga di seluruh negara yang kembali ke sekolah untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka setelah sekolah ditutup sejak Mei lepas sebagai langkah mengawal pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun anaknya mengikuti pendidikan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini tetapi dia merasakan PdP secara bersemuka adalah lebih baik.

" Lepas ini anak-anak tidaklah main telefon sahaja,” kata bapa kepada lima anak itu ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Ragut, Ayer Hangat.

Iklan

Kementerian Pendidikan sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah rendah bagi murid tahap satu di negeri-negeri telah mencapai Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi yang terlibat dengan gelembung pelancongan sejak 16 September dikira berada pada Fasa Empat walaupun Kedah belum lagi mencapainya.

Pelaksanaan di Langkawi bermula Ahad manakala Negeri Sembilan serta Labuan akan bermula Isnin, diikuti negeri-negeri lain melaksanakan langkah sama selepas dua minggu peralihan kepada Fasa Empat.

Iklan

Amirul Rashid berkata, walaupun pendapatannya sebagai nelayan tidak menentu dia tetap mahu anaknya hadir ke sekolah dengan sempurna dan berharap mendapat bantuan sewajarnya setelah Covid-19 memberi kesan kepada banyak pihak.

Muhammad Ashraf Iman antara murid yang berharap sekolah dibuka seperti biasa kerana berhadapan dengan kekangan dalam PdPR berikutan terpaksa berkongsi peranti ibunya Ku Azlin Ku Saat dengan tiga lagi adik-beradiknya untuk tujuan PdPR.

Masalah itu menyebabkan kehadiran PdPR secara dalam talian kurang memuaskan dan lebih banyak menggunakan modul yang dibekalkan guru-guru.

"Saya suka datang sekolah, buat kerja sekolah, jumpa kawan-kawan. Tak sabar nak jumpa kawan di sekolah lagi... rasa gembira. Sebelum ni saya suka pergi sekolah, saya gembira jumpa kawan, ada cikgu di sekolah,” katanya.

Ku Azlin, 31, pula berkata, dia telah mempersiapkan kelengkapan sekolah anaknya-anaknya walaupun ada yang akan ke sekolah lewat sedikit berikutan sekolah dibuka secara berperingkat.

"Saya dah bersedia sejak awal lagi untuk anak-anak ke sekolah... baju sekolah, beg sekolah semua dah siap. Reaksi anak-anak seronok untuk bersekolah, jadual dapat diaturkan secara baik, mereka nak belajar di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mardi Abas, 43, dari Kampung Pasir Hitam, Ayer Hangat berkata, anak lelakinya Iman Naim, 12, murid berkeperluan khas di SK Penghulu Ahmad telah kembali ke sekolah sejak 3 Oktober lepas seperti ditetapkan kementerian dan ia membantu untuk anaknya kembali fokus kepada pembelajaran.

"Alhamdulillah tiada masalah pergi sekolah. Sebelum ini, duduk di rumah banyak main, sekarang pergi sekolah ada tumpuan. Kami tak beri tekanan dan tengok kemampuan dia,” katanya mengenai anak keempat daripada enam beradik itu.

Katanya, dia menghantar anaknya itu ke sekolah setiap hari dan melihat semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan baik. - Bernama