IPOH - Sebanyak enam kenderaan yang berhajat pulang ke kampung dan bercuti ke Kelantan melalui jalan Gerik-Jeli diarah berpatah balik selepas pemeriksaan mendapati individu terlibat tidak lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan itu dikeluarkan ketika kenderaan berkenaan melalui pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Sungai Lebey dekat Gerik pada Jumaat.
Menurutnya, pemandu dan penumpang itu mencuba nasib mahu pulang ke kampung, namun apabila anggota polis yang bertugas meminta mempamerkan sijil vaksinasi, didapati belum lengkap dua dos vaksin.
"Terdapat beberapa kenderaan di mana pemandu dan penumpang didapati tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.
"Pemandu kenderaan ini memberi alasan untuk ke Kelantan, namun tidak bernasib baik kerana semasa pemeriksaan gagal menunjukkan pengesahan sudah lengkap divaksinasi.
"Mereka kemudiannya diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Beliau berkata, berlaku pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan Gerik-Jeli berikutan orang ramai mengambil peluang bercuti panjang untuk ke Kelantan bermula pada Jumaat sehingga Selasa ini.
Bagaimanapun, katanya, aliran trafik sepanjang laluan berkenaan adalah lancar dan terkawal dengan kenderaan bergerak perlahan.
"Pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) telah diarah untuk membuat pemantauan sepanjang laluan JRTB Gerik-Jeli. Rondaan dari Balai Polis Bersia turut dijalankan di sepanjang laluan dari semasa ke semasa.
"Keadaan lalu lintas lancar di jalan JRTB Gerik-Jeli. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan sejak Jumaat," katanya.
Mengulas gambar kesesakan di JRTB Gerik-Jeli yang tular di media sosial, Mior Faridalathrash berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat sekitar jam 4 petang yang mana kenderaan ketika itu bergerak perlahan dalam jarak 1.5 kilometer dari sekatan jalan raya yang didirikan.
Menurutnya, kesesakan tidak berlaku terlalu lama, pengguna jalan raya yang melalui sekatan hanya perlu menunjukkan pengesahan di MySejahtera bahawa mereka telah menerima vaksinasi lengkap.
"Sekatan jalan raya di Sungai Lebey Gerik didirikan agar pemeriksaan secara teliti dilakukan oleh petugas kepada para pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri.
"Hanya pemandu dan penumpang yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan untuk merentas negeri sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.