PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya pasukan kendaliannya itu mampu bangkit selepas tewas kepada Leicester City 2-4 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Menurutnya, dia juga tidak merasai tekanan ekoran prestasi hambar The Red Devils dan akan meneruskan tugasnya seperti biasa untuk membawa pasukan kembali ke landasan kemenangan.
"Setiap kali pasukan kalah, tekanan itu sudah tentu memuncak. Tetapi, kami sudah biasa hidup dalam tekanan.
"Kami adalah Man United, kekecewaan pernah berlaku, persembahan yang teruk dan kami akan bangkit ketika aksi Liga Juara-Juara Khamis ini. Saya akan meneruskan kerja saya ini dan percayakan kepada pemain saya," katanya.
Dalam perlawanan di Stadium King Power itu, United terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan daripada luar kotak penalti Mason Greenwood pada minit ke-19 sebelum disamakan oleh Youri Tielemans pada minit ke-31.
Giliran Leicester berada di hadapan menerusi Caglar Soyuncu pada minit ke-78 sebelum Marcus Rashford menyamakan kedudukan buat United empat minit kemudian.
Penyerang berbisa Leicester, Jamie Vardy dan pemain gantian, Patson Daka memastikan kemenangan Leicester sekali gus menamatkan rekod 29 perlawananan tanpa kalah United di tempat lawan.
United mempunyai peluang untuk kembali berada di landasan kemenangan apabila dijadualkan menentang Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara Khamis ini.
Dalam pada itu, Solskjaer mengakui dia melakukan beberapa kesilapan dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab sepenuhnya kekalahan memalukan United itu.
"Semua gol yang kami bolos itu adalah sangat mengecewakan dan persembahan kami sangat tidak bagus. Saya yang memilih pemain untuk perlawanan ini dan mungkin saya telah membuta beberapa kesilapan.
"Saya mempunyai ramai pemain yang bagus dan setiap perlawanan adalah berbeza. Saya tidak mahu memberikan sebarang alasan dan kami akan bangkit selepas ini," katanya.