PENGENDALI Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo menegaskan dia dalam tempoh bertenang biarpun kapten yang juga penyerang utama kelab itu Harry Kane masih belum berada pada prestasi terbaik musim ini.
Malah menurut Santo, situasi dihadapi penyerang berprofil tinggi seperti Kane merupakan satu kebiasaan dalam era bola sepak moden.
"Situasi Kane merupakan sesuatu yang normal dan Tottenham tetap tenang melalui bersamanya. Malah saya percaya dia pernah melalui pengalaman fasa sebegini sebelum ini.
"Sejujurnya, Kane di Tottenham bukan sekadar mesin pencetak gol untuk kelab ini, malah lebih daripada itu apabila turut menjadi inspirasi kepada pemain-pemain lain memberikan hasil terbaik semasa di padang.
"Seorang pemain bola sepak yang fantastik dan tersohor seperti Kane, akan mengakhiri kemarau golnya secara semulajadi apabila tiba masanya,” kata Santo.
Kane masih lagi bergelut dengan kemarau jaringan pada saingan Liga Perdana Inggeris musim ini malah ketika bersama England menentang Hungary buat pertama kali penyerang tersebut gagal memberikan impak positif dalam penampilan kelayakan Piala Dunia.
Prestasi turun naik Kane juga dikaitkan dengan kegagalan perpindahannya ke Manchester City sebelum ini.
Biarpun begitu, Santo yakin penyerang berusia 28 tahun tersebut mampu mencipta impak positif menjelang perlawanan menentang Newcastle United di St James Park pada Ahad.
"Saya yakin Kane akan memberikan sesuatu yang positif kepada Tottenham dalam perlawanan hujung minggu ini,” ujarnya.
Sejak kembali bersama Tottenham, Kane telah meledak enam gol - lima semasa kejuaraan Liga Konferensi Europa manakala satu ketika menjinakkan Wolves di saingan Piala Liga.
Biarpun begitu dalam saingan kejuaraan utama, Kane gagal menemui jaringan dalam lima perlawanan terakhir.