JKDM rampas alat ganti kenderaan mewah, minuman keras

Iklan
Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan alat ganti kenderaan mewah dan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia ( JKDM) Johor menumpaskan dua sindiket penyeludupan alat ganti kenderaan mewah dan minuman keras bernilai RM 2.6 juta termasuk cukai dalam serbuan berasingan di Kampung Pasir dan Plaza Tol Kempas baru-baru ini.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai JKDM Johor ke atas sebuah lori kontena di jalan bertingkat Skudai, Kampung Pasir pada jam 5.30 petang, 30 September lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, hasil serbuan menemui sebanyak 9,364 alat ganti kenderaan mewah bernilai RM363,340 dipercayai dibawa dari Singapura dengan nilai cukai sebanyak RM145,736.

"Lori kontena dianggarkan bernilai RM80,000 turut disita.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati sindiket melakukan ikrar yang tidak benar dan mengelirukan bagi tujuan mengelakkan dikenakan cukai yang tinggi," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor pada Ahad.

Selain itu, Sazali memberitahu, pemandu lori kontena warga tempatan berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 131(1)(a) Akta Kastam 1967.

Iklan

Sementara itu katanya, serbuan pada 8 Oktober lalu melibatkan sebuah treler semi kargo yang mengandungi 17,000 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM324,7200 dengan nilai cukai RM1.72 juta.

"Anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor Bahru telah memintas lori tersebut ketika pemandunya selesai membayar tol di Plaza Tol Kempas menghala utara.

"Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai disembunyikan di ruangan kargo di belakang lori treler tersebut. Turut disita treler berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.

Sazali memberitahu, treler semi kargo itu dipercayai baru memasuki negara ini dari Singapura melalui salah sebuah pintu masuk utama menuju ke ibu negara.

"Minuman keras diikrar sebagai 'Mineral Nutrien Mixture'( liquid) dengan tujuan mengelak dikesan oleh agensi penguatkuasaan.

"Dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 56 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan treler semi kargo itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.