'Jumpa semula gelang emas jatuh dalam sungai'

Iklan
Wakil daripada Pasukan Sukarelawan Kalang Warisan, Kuala Terengganu menyerahkan barang kemas yang dijumpai kepada wakil keluarga kanak-kanak berkenaan. Gelang emas yang baharu dipakai tidak sampai tempoh 24 jam ini tercicir semasa mandi di Kalang Warisan, Kuala Terengganu sebelum dijumpai semula selepas hampir seminggu.

KUALA TERENGGANU - Ketua Komunikasi Korporat di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, Norfarizan Hashim, 42, tidak menyangka aduan mengenai kehilangan gelang anaknya di dasar sungai mendapat kerjasama Pasukan Sukarelawan Kalang Warisan.

Pasukan berkenaan mencarinya sehingga gelang yang baru dibeli itu ditemui semula seminggu selepas hilang.

Iklan
Iklan

Gelang emas yang dihadiahkan kepada anaknya, Nur Dhiya Khalisha Ahmad Humaizi, 10, hilang ketika mandi di sungai Jeti Kalang Warisan, Serada di sini pada Selasa.

Gelang yang dibeli tidak sampai 24 jam itu disedari hilang oleh anaknya sendiri semasa sedang bersiap untuk pulang selepas beberapa jam mandi di lokasi itu.

Iklan

"Saya tidak berharap barang kemas yang dibeli pada harga hampir RM2,000 itu ditemui semula kerana keadaan air di sungai itu agak keruh.

"Bagaimanapun saya tidak sangka, rezeki masih milik kami. Anak saya pula sepanjang perjalanan balik menangis kerana takut dimarahi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, gelang itu begitu istimewa kepada anaknya kerana dia memilih sendiri corak yang digemari dan teruja untuk memakainya.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat daripada Pasukan Sukarelawan Kalang Warisan, Mohamad Embong berkata, pihaknya menerima aduan kehilangan barang kemas daripada keluarga kanak-kanak tersebut kira- kira jam 5 petang,pada Selasa.

"Sejurus aduan diterima, pasukan kami terus melancarkan operasi mencari barang kemas yang dimaksudkan di lokasi dipercayai hilang dan operasi mencari hampir setiap hari tanpa henti.

"Ditakdirkan tengah hari pada hari keenam operasi mencari dijalankan, salah seorang ahli dalam pasukan, Abu Bakar Muda menemui barang kemas berkenaan di dalam pasir di lokasi yang dimaklumkan hilang itu.

"Kami terus menghubungi ahli keluarga yang terlibat memaklumkan penemuan itu selain meminta dia datang menuntut barang kemas dengan segera," katanya.

Jelasnya lagi, pasukan sukarelawan itu ditubuhkan bertujuan menjaga keselamatan, mengawal selia dan membantu apa jua yang berlaku di Kalang Warisan supaya menjadi keselesaan dan keseronokan pengunjung di sini.

"Dalam masa sama, kami juga ingin mengingatkan pengunjung supaya dapat menjaga barang berharga mereka sepanjang melakukan aktiviti di sini (Kalang Warisan).

"Jika boleh elakkan memakai barang kemas ketika menjalankan aktiviti di air dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.