KUALA LUMPUR – Pas mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ekoran kenyataan dikeluarkannya yang disifatkan sebagai berbentuk hasutan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan memecat Guan Eng perlu dilakukan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan parah.
"Pas menganggap kenyataan Guan Eng seolah-olah mengesahkan DAP sebuah parti yang bersikap cauvinis dan tidak demokratik, meskipun nama DAP diterjemahkan sebagai ‘Parti Tindakan Demokratik’.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerjasama UMNO-Pas, kenapa DAP panas?
'Hati-hati, jangan terlalu celupar'
"Di samping itu kenyataan beliau juga menggambarkan DAP adalah parti anti Melayu-Islam. Sebenarnya kenyataan Guan Eng itu yang merupakan ‘pengisytiharan perang’ dengan menekan butang paniknya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Semalam, Guan Eng dilapor mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya UMNO dan Pas kini 'mengisytiharkan perang' kepada masyarakat bukan Islam.
Beliau dilapor turut mendakwa Pas dan UMNO melaga-lagakan antara orang Melayu dan kaum lain. Bagaimanapun, lewat tengah malam semalam, Guan Eng mengeluarkan pembetulan dalam kenyataan asalnya untuk menggantikan perkataan 'mengisytiharkan perang' kepada 'menyasarkan'.
Sementara itu, mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, Guan Eng sepatutnya melihat penyatuan ummah yang dipelopori oleh Pas dan UMNO dengan pandangan jauh sebagai suatu langkah yang positif ke arah perpaduan masyarakat demi kebaikan negara, setelah berpecah sejak lebih 60 tahun yang lalu.
"Pas juga berpandangan Guan Eng sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang lama (DAP) sepatutnya mengambil langkah yang sama untuk menyatukan masyarakat bukan Melayu, terutamanya kaum Cina, juga untuk kepentingan negara, bukannya mengapi-apikan semangat perkauman sempit yang boleh ‘membakar’ negara ini.
"Pas melihat kenyataan Guan Eng tersebut amat merbahaya kepada keharmonian, perpaduan dan semua sistem yang ada dalam negara ini. Justeru saya menyeru seluruh rakyat yang cintakan kemanan dan kerukunan agar membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana menghasut,” desaknya.