KUANTAN- Lelaki orang asli yang dikatakan hilang selama 98 jam, akhirnya pulang ke rumah kakaknya susulan dia terlalu lapar sepanjang tempoh persembunyian di dalam hutan pada malam Ahad.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, penemuan Zali Yasa, 19, itu telah dimaklumkan oleh Tok Batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah.
"Saya sudah bertemu dengan keluarga pemuda itu bagi mengetahui cerita sebenar kenapa dia (Zali) bertindak melarikan diri ke hutan. Saya difahamkan, selain konflik rumah tangga yang berlarutan dan mudah merajuk menjadi penyebab dia bersembunyi dalam hutan.
"Jadi, saya sudah sudah mengarahkan batin dan keluarga kedua-dua pihak supaya berusaha membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Zali dan isterinya,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam pada itu, Johari mengucapkan terima kasih pada anggota polis, Bomba dan Penyelamat Pahang, Unit K9 Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, operasi SAR yang diadakan bersama pihak bomba telah ditamatkan selepas dimaklumkan penemuan lelaki itu.
Katanya, seramai 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bomba dan Penyelamat, K9 serta dibantu 25 penduduk orang asli setempat telah menjalankan operasi itu.
"Disebabkan terlalu lapar dan kesejukan berikutan hujan lebat petang Ahad, mendorong lelaki terbabit mengambil keputusan pergi rumah kakaknya.
"Kita telah mengambil keterangan Tok Batin Kampung Kundang, keluarga lelaki terbabit dan penduduk setempat mengenai kejadian terbabit,” katanya.