Lelaki mengamuk cederakan jiran, rosakkan harta benda

Iklan
Suspek cuba ditenangkan orang awam ketika cuba memecahkan cermin kereta mangsa dalam kejadian pada Sabtu di perumahan Bee Bee Park di sini.

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan mencederakan jirannya di kawasan perumahan Bee Bee Park di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek warga tempatan ditahan sekitar jam 7.50 malam selepas mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis kira-kira jam 2.09 petang di Balai Polis Alor Setar.

Iklan
Iklan

Katanya, suspek didakwa mencederakan mangsa dan memecahkan cermin kereta serta perkakas perniagaan iaitu rak cermin dan peti ais tiga pintu.

"Polis turut merampas sebiji batu bata berwarna kelabu serta sebatang besi berwarna coklat sepanjang 75 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit juga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Syazwani Sazali," katanya.

Iklan