Kerajaan belum putus lanjut rebat elektrik

Iklan
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan bergambar bersama selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat Pemasangan Solar diantara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Majlis Penyerahan Surat Niat Pelaksanaan Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, pada Ahad. - Foto Bernama

LANGKAWI - Kerajaan belum membuat keputusan sama ada rebat elektrik, yang dinikmati 9.44 juta pengguna Tenaga Nasional Bhd (TNB) hingga 31 Disember ini akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah dibawa ke peringkat Kabinet namun keputusan mengenainya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Jika sekiranya kewangan kerajaan mengizinkan, rebat ini mungkin diteruskan lagi. Kita tunggu dalam pembentangan Belanjawan 2022 nanti jika ada dan diluluskan Kementerian Kewangan. Kita harap ada berita baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Niat Inisiatif Solar di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan berhasrat melanjutkan rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj yang dinikmati pengguna mulai 1 Julai lepas.

Iklan

Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pemberian rebat elektrik membabitkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai kegiatan perlombongan emas haram yang didedahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah di Lahad Datu kelmarin, Takiyuddin berkata, pihaknya masih menunggu maklumat terperinci berhubung perkara itu.

Iklan

Beliau berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan menyifatkan aktiviti perlombongan haram sebagai sangat berbahaya.

"Kita tidak galak aktiviti ini dan jika tidak ikut prosedur operasi standard, ia boleh mendatangkan bahaya jika (lombong) runtuh dan mungkin menyebabkan kematian.

"Selain itu, ia (emas) adalah harta kerajaan, mineral hak kerajaan yang menjadi khazanah negara, jadi jika buat secara haram maka sama seperti mencuri dan kita tidak galak ia dilakukan,” katanya. - Bernama