Belanjawan 2022: E-sukan tidak dilupakan

Iklan
Ahmad Faizal bercakap pada sidang media Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Season 8 di Tropicana Gardens Mall hari ini.
 -Foto Bernama

PETALING JAYA - Sukan elektronik atau e-sukan tetap mendapat peruntukan sewajarnya dalam Belanjawan 2022 yang dibentang pada hujung bulan ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, peruntukan bagi e-sukan, yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda, tidaklah terlalu besar.

Iklan
Iklan

"Ada tetapi bukan terlalu besar kerana seperti yang kita tahu, kerajaan memberi fokus kepada penjanaan ekonomi pasca Covid-19. Kita tahu banyak peluang pekerjaan terjejas dan fokus kerajaan kepada itu tetapi kita tidak akan meninggalkan perkara baik seperti e-sukan yang perlu kita kembangkan.

"Saya tidak kata ia bertambah atau berkurang tetapi apa yang pasti, kita memberi penumpuan kepada perkembangan sukan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Musim Ke-8 di sini pada Ahad.

Iklan

Belanjawan 2021 menyaksikan e-sukan mendapat peruntukan sebanyak RM15 juta dan ini adalah tahun ketiga pembangunan sukan digital itu diberi perhatian dalam pembentangan belanjawan.

Untuk rekod, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM20 juta kepada e-sukan melalui Belanjawan 2020 dan RM10 juta dalam Belanjawan 2019.

Iklan

Ahmad Faizal memberitahu, e-sukan mampu berkembang sendiri namun kerajaan tetap perlu memainkan peranan dengan memberi sokongan kepada sektor itu bagi mengembangkan lagi potensinya sekali gus menjana pendapatan buat negara.

Beliau memberi jaminan Kementerian Belia dan Sukan akan terus menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan perkembangan e-sukan negara dipelihara.

"Ia tidak boleh kita halang perkembangannya, ia berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia dan kehangatan ini kita perlu pupuk, bukannya kita kekang agar para peminat sukan ini dapat menggunakannya ke arah kebaikan, bukan ke arah negatif.

"Bagi anak muda yang meminati e-sukan, ia boleh menjana pendapatan yang begitu besar merentasi latar belakang,” katanya. -Bernama