Tindakan BAM hantar pemain muda ke Denmark tepat: Faizal Azumu

Iklan
Ahmad Faizal (duduk) sedang mencuba permainan e-sukan sambil diperhatikan oleh Timbala Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (kiri) pada Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Season 8 di Tropicana Gardens Mall, pada Ahad.
 Turut sama Naib Presiden Hal Ehwal Awam dan Kerajaan IOESports Joel Goh.
 - Foto Bernama

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan tepat menghantar barisan pemain muda beraksi pada kempen Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, meskipun tersingkir di pusingan suku akhir, pasukan negara yang mempunyai purata umur 23 tahun dengan lima pemain berusia 24 tahun berjaya memberikan saingan sengit berdepan lawan yang berstatus terbaik dunia serta lebih berpengalaman.

Iklan
Iklan

Katanya, kempen itu juga memberi pendedahan berguna kepada pemain muda dalam usaha BAM kembali menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar sukan badminton.

"Bukannya mereka kalah mudah, mereka kalah dengan beri tentangan sengit, ini bermakna keputusan itu tepat dan kita juga hendak melihat kejayaan lebih besar selepas ini.

Iklan

"Tiada siapa di Malaysia yang mengharapkan pasukan pergi untuk bawa balik piala, kita tidak letakkan sasaran itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Musim Ke-8 di sini, pada Ahad.

Pada aksi suku akhir Jumaat lepas, Malaysia tewas 0-3 kepada musuh tradisi Indonesia sekali gus gagal membalas dendam kekalahan edisi 2018 kepada lawan sama di peringkat sama.

Iklan

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk menamatkan kemarau hampir 30 tahun kejuaraan Piala Thomas sejak kali terakhir bergelar juara pada 1992 di Kuala Lumpur, sementara kali terakhir skuad negara mara ke final kejohanan itu adalah pada 2014 di India.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Malaysia pada saingan Piala Uber, Ahmad Faizal berkata, skuad negara yang turut membariskan pemain muda dengan purata umur pasukan adalah 21 tahun beraksi dengan baik di sebalik cabaran hebat dari negara kuasa besar.

Beliau berharap semua pihak termasuk penyokong supaya terus memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara yang menyasarkan kejayaan gemilang pada tahun 2024.

"Saya percaya dengan apa yang telah dilalui kali ini di masa akan datang dalam kejohanan lain barisan pemain kita akan menunjukkan prestasi yang lebih baik. Sebagai penyokong, saya harap kita dapat terus bagi sokongan supaya mereka mampu bangkit daripada kekalahan ini” katanya.

Skuad Piala Uber negara meletakkan sasaran peringkat suku akhir tetapi gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tercorot dalam kedudukan Kumpulan D selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah, Denmark, 0-5 kepada China dan Kanada 1-4. - Bernama