KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan meluluskan permohonan pelan pembangunan sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat ditetapkan termasuk dalam menyediakan keperluan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, kementerian bertanggungjawab bagi memastikan pemaju mematuhi syarat ditetapkan bukan sahaja di bawah Akta OKU 2008 (Akta 685), malah Standard Industri Pembinaan Perumahan yang menggariskan syarat perlu dipatuhi pemaju.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memastikan perincian keperluan OKU dan tidak akan meluluskan pelan pembangunan selagi ia tidak mematuhi keperluan OKU sepertimana diperlukan.
"Kita ada peraturan dan akan kuatkuasakannya kalau mereka (pemaju) tidak mengikut peraturan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang ingin tahu tindakan akan diambil terhadap pemaju yang gagal mengikuti spesifikasi dalam membina rumah untuk golongan OKU.
Menjawab soalan asal Ras Adiba mengenai usaha dilaksanakan kementerian bagi menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan komuniti OKU, Ismail berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa mengambil berat untuk memastikan perumahan adalah berdaya huni untuk semua golongan termasuk OKU.
Beliau berkata, Standard Perumahan Kebangsaan 2019 yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggariskan piawaian spesifikasi Rekabentuk Sejagat (Universal Design) dalam reka bentuk bangunan dan komponen kemudahan sokongan dengan mengambil kira kepenggunaan oleh golongan dewasa, kanak-kanak, warga tua dan OKU.
Menurutnya, bagi golongan OKU, piawaian itu turut meliputi tempat letak kenderaan OKU, laluan mesra OKU, lif mesra OKU, tandas mesra OKU dan suis atau plag capaian OKU.
"KPKT sentiasa memastikan tiada golongan dipinggirkan apabila melibatkan perumahan termasuklah golongan OKU. Kementerian menetapkan supaya satu peratus daripada jumlah keseluruhan unit Program Perumahan Rakyat (PPR) diperuntukkan kepada golongan OKU termasuk dalam golongan B40.
"Sehingga 31 Ogos 2021, terdapat sejumlah 154 projek PPR mengandungi 97,196 unit rumah di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 936 unit rumah disediakan bagi golongan OKU dengan pengisian unit adalah sebanyak 809 (86.4 peratus)," katanya. - Bernama