GEORGETOWN - Makanan tambahan (suplementasi) bijirin yang terdiri daripada pelbagai jenis bijirin jenama Oat King keluaran kedua diperkenalkan di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Oat King keluaran pertama yang diberi nama Oat King Sport memulakan ujian klinikalnya pada 13 Julai 2018 untuk pesakit Rheumatoid Arthritis (RA) malah sudah berada di pasaran sejak 2015.
Sama seperti Oat King Sport, Oat King juga terdiri daripada campuran pelbagai jenis bijirin yang mempunyai pelbagai kandungan tinggi beta-glukan untuk pesakit diabetes tahap dua.
Ia merupakan produk oleh TG Ocean Health Food Industries Sdn Bhd dengan usahasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Penyelidikan diketuai Dr Lee Lai Kuan yang juga Pakar Pemakanan Klinikal USM dan disertai tiga penyelidik USM iaitu, Pakar Perubatan Keluarga, Dr Mastura Mohd Sopian; Profesor Madya Dr Foo Keng Yuen dan Dr Mohd Hafizi Abu Bakar.
Ketua Penyelidik yang juga Pakar Pemakanan Klinikal USM, Dr Lee Lai Kuan berkata, kajian Oat King mengambil tempoh selama setahun setengah bermula Januari tahun lalu hingga 30 Jun lepas.
Menurutnya, seramai 50 pesakit dijadikan sampel klinikal yang terbahagi kepada dua kumpulan.
"Satu kumpulan terdiri daripada 25 pesakit yang mendapatkan perawatan piawai dan 60 gram (g) Oat King manakala satu kumpulan lagi hanya mendapatkan perawatan piawai sahaja.
"Tempoh percubaan yang diambil untuk sampel klinikal ini adalah 12 minggu. Kajian yang dijalankan menerusi kerjasama ini berjaya menemui bahawa suplimentasi bijirin pelbagai tinggi kandungan beta-glukan menggunakan pelbagai jenis bijirin.
"Ia dapat memperbaiki paras 'glycated hemoglobin' dalam kalangan pesakit kencing manis tahap dua," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Isnin.
Katanya, kajian berkenaan dijalankan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, di Kepala Batas.
"Antara keputusan utama kajian ialah suplimentasi bijirin pelbagai tinggi kandungan beta-glukan menggunakan oat king memperbaiki paras glycates hemoglobin dalam kalangan pesakit kencing manis tahap dua.
"Kepekatan jumlah kolestrol dan kolestrol lipoprotein kepadatan rendah dalam kumpulan suplimen berkurangan dengan ketara setelah 12 minggu pengambilan Oat King sebagai ubat komplimentari secara intensif," katanya.
Jelasnya lagi, suplemen bijirin pelbagai itu memperbaiki komposisi jumlah lemak badan dan lemak viseral dalam kalangan pesakit diabetes tahap dua.
"Kumpulan suplemen menunjukkan kesan sampingan gastrousus yang minimum dan ia ditoleransi dengan baik berikutan pengambilan yang berpanjangan. Suplemen bijirin yang pelbagai selama 12 minggu meningkatkan tahap superoksida dismutase.
"Secara kontradiktif, kepekatan malondialdehid (MDA) dan protein karbonil berkurang dengan ketara," katanya.