Anak peneroka Felda buktikan kesungguhan sebagai usahawan mampu membuahkan hasil
SHAH ALAM – Bermula hanya memasak dengan kuali kawah, seorang usahawan tidak sangka perniagaan kecil-kecilannya kini membuahkan hasil dan mendapat tempat di hati pelanggannya.
Usahawan yang juga anak peneroka Felda Sungai Tengi, Sabak Bernam, Mahmud Faizul Mohd Isro, 44, berkata, perniagaan pes sambal hasil usaha bersama isterinya itu semakin berkembang sejak dibantu Felda beberapa tahun lalu.
"Sebenarnya dalam perniagaan ini tidak semudah ABC, ia perlu melalui beberapa fasa yang mengambil masa panjang. Kami bermula dari zero iaitu dari rumah hingga ke bengkel untuk memulakan industri kecil sederhana.
"Dari situ kami bermula menaiki anak tangga untuk mencapai kejayaan. Untuk branding kan produk bukan kerja mudah sebab orang tidak kenal produk kita, jadi kita yang perlu perkenalkan kepada orang,”katanya di sini.
Produk pes sambal Ardinde mula dipasarkan sejak 2017 dan sehingga kini terdapat tujuh pes sedia untuk dimasak dan tiga jenis sambal sedia untuk dimakan.
Antaranya sambal hijau, acar ikan masin, pajeri, tomyam, rendang tok, dendeng, asam pedas dan banyak lagi.
"Kami bermula dari rumah tapi atas nasihat pakar kami berpindah ke bengkel. Masa itu, kami hanya pakai kuali kawah biasa dan pakai dayung sahaja.
"Bila permintaan tinggi, kami tambah peralatan yang lebih menyenangkan secara perlahan-lahan. Kami tambah mengikut keupayaan sebab kami tak mampu nak tambah sekelip mata,”katanya.
Beliau yang baru terlibat sebagai usahawan Felda berkata, Felda banyak membantu dari segi ilmu pemasaran produk dari pelbagai platform hingga ke digitalisasi.
"Felda bantu kami melalui program ‘Felda e-Mall’. Bila ditawarkan dengan program ini, kami tanpa menunggu lama terus mendaftar sebagai usahawan Felda.
"Program ini sangat membantu dan permintaan produk kami menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Kami yakin program ini banyak memberi manfaat kepada anak-anak peneroka khususnya peniaga seperti saya yang baru berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan ini,”katanya.
Sementara itu, isterinya, Rahayu Abdullah, 43, berkata, dia hanya mempunyai bakat memasak dan tiada ilmu tentang memasarkan produk.
"Saya hanya tahu buat pes sahaja dan bila ada permintaan saya akan buat. Masa itu saya masak hanya menggunakan kuali yang kecil sebab tak tahu macam mana nak bagi produk tahan lama.
"Namun, setelah diberi khidmat nasihat melalui kursus dari pakar-pakar, barulah saya tahu satu botol ini boleh tahan sampai dua tahun. Syukur sangat ada orang yang sudi ajar kami,”katanya.
Menurutnya, ramai dalam kalangan anak-anak Felda mempunyai kemahiran dan minat menjadi usahawan namun tiada keyakinan untuk menonjolkan diri.
"Saya yakin Felda banyak bantu anak-anak peneroka dalam dunia perniagaan. Saya berharap selepas ini lebih ramai anak-anak Felda akan menjadi usahawan yang berjaya,”katanya.
Aspirasi wujud 1000 usahawan jutawan
Dalam pada itu, Felda turut aktif menggalakkan penyertaan usahawan-usahawan baharu bagi melahirkan 1000 usahawan jutawan menjelang 2025 selaras aspirasi Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Felda adalah Program Satu Wilayah Satu Industri (Sawari). Program Sawari merupakan satu program bagi meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti non-farm, mengkomersialkan produk-produk cottage industry yang berpotensi untuk dimajukan dan mengadakan rantaian nilai (value chain) dari pembangunan produk hingga kepada pemasaran. Menerusi program Sawari, satu Program Vendor Sawari (PVS) telah diperkenalkan pada tahun 2007.
Melalui program PVS ini, Felda telah berjaya memasarkan produk usahawan Felda di 26 cawangan AEON-Jusco, 22 cawangan Mydin, Lotus-Tesco, Outlet Sawari dan lain-lain outlet komersial serta korporat.
Dari tahun 2019 sehingga September 2021, jumlah jualan menerusi program ini telah mencapai RM3.1 juta melibatkan seramai 50 usahawan Felda.
Felda kini sedang membuka peluang kepada lebih ramai usahawan Felda untuk menyertai PVS ini sehingga 22 Oktober 2021. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Felda dan laman Facebook Rasmi Felda.