KUALA LUMPUR - Malaysia selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN) telah membentangkan lapan sasaran keberhasilan yang telah dirangka menerusi Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menerusi catatan di Twitter rasmi pada Isnin berkata, ia dibentangkan pada sesi pertemuan ADGMIN dengan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) semasa Mesyuarat ke-20 AECC yang diadakan secara maya pada Isnin.
Beliau berkata, ADM2025 akan mencorak pembangunan landskap digital rantau ASEAN untuk lima tahun akan datang.
"Pada sesi pertemuan itu juga, AECC dan ADGMIN turut bersependapat bahawa ekonomi digital akan menjadi pemacu utama dalam membangunkan ekonomi, industri serta menjadi bidang pertumbuhan baharu di ASEAN.
"Sehubungan itu, kedua-dua AECC dan ADGMIN juga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam memacu matlamat ASEAN untuk muncul sebagai blok ekonomi digital yang kompetitif serta berdaya tahan ketika pasca Covid-19,” katanya.
Zahidi sebelum itu mengetuai delegasi ADGMIN pada sesi pertemuan dengan AECC. - Bernama