SHAH ALAM - UMNO amat menghargai ahli-ahlinya yang setia dan terus kekal bersama dalam perjuangan parti itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tunjang kekuatan UMNO adalah ahli-ahli di peringkat akar umbi yang tidak mengalah biarpun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpin.
"Pada tahun 2018, ada sebahagian daripada rakan-rakan kita dalam UMNO di peringkat kepimpinan telah keluar daripada parti.
"Saya tidak kisah mereka hendak pergi ke mana, yang hendak saya nyatakan bukan ke mana mereka pergi tetapi semangat ahli cawangan, ketua cawangan, ketua wanita, pemuda, puteri dan kepimpinan bahagian yang terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat di Sabah pada Isnin.
Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, ahli-ahli yang setia kepada parti itulah yang meneruskan kelangsungan UMNO di seluruh negara.
Malah, katanya, mereka tidak perlu malu memakai baju warna merah yang melambangkan UMNO atau mengaku diri sebagai ahli parti.
Katanya, dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang, UMNO tidak mempunyai apa-apa selain turut menghadapi pelbagai ujian seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diuji pada waktu tersebut kerana ada PRK Kimanis. Panggil kawan-kawan seluruh Sabah, sekarang kita mahu pilihan raya Kimanis, kita pembangkang mahu himpunkan jentera, jentera pun kurang pengalaman," ujarnya.
Tambah beliau, kemenangan dalam PRN Sabah telah meletakkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri.
Dalam masa sama, Mahdzir turut menegaskan bahawa UMNO perlu terus menguatkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Dari Perlis sampai ke Sabah, UMNO adalah parti yang ada strukturnya di semua peringkat. Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi PRU15 nanti.
"Kekuatan parti ada di akar umbi. Kita hanya nak menang pilihan raya dan kembalikan agenda membangunkan negara.
"Jangan jadi macam ketam dalam kotak, satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar. Elakkan sikap seumpama ini dalam UMNO. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti," kata beliau.