KPDNHEP pergiat pemantauan libat kes ketulenan emas

Iklan
Azman (dua dari kiri) menunjukkan demo pemeriksaan dan pengujian ketulenan emas di salah sebuah kedai emas di KTCC Mall, Kuala Terengganu, pada Isnin sambil diperhatikan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (dua dari kanan).

KUALA TERENGGANU - Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan rampasan bernilai RM53,463 membabitkan 42 kes berhubung isu ketulenan emas sepanjang dua tahun ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, dalam tempoh berkenaan juga, sebanyak RM7,700 kompaun telah dikeluarkan dan denda sebanyak RM20,000 telah dikenakan kepada syarikat atau individu yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Sepanjang tahun ini pula, setakat hari ini (Isnin) sebanyak 11 aduan telah diterima oleh KPDNHEP dan sembilan daripada aduan tersebut sudah diambil tindakan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM3,950.

"Kami akan mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas ketulenan emas melalui Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Dibuat Daripada Logam Berharga 1994) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi memastikan pematuhan peniaga ke atas peruntukan undang-undang ini dipatuhi sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas sesi pengujian ketulenan emas di salah sebuah kedai emas di KTCC Mall di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut Azman, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan ke atas pemeriksaan emas dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan, KPDNHEP membuat perolehan bagi dua set peralatan pengujian ketulenan emas pada tahun lepas.

"Setakat ini, pihak kami telah menjalankan tiga siri pemeriksaan emas di Jalan Masjid India (Kuala Lumpur), Pekan Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan juga AEON Mall Shah Alam (Selangor).

Iklan

"Secara keseluruhan, sebanyak 11 premis kedai emas telah diperiksa dengan menggunakan alat disediakan ini. Barang kemas yang diperiksa adalah emas yang berupa gelang, cincin, loket, rantai dan juga subang," katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan dan pengujian yang dijalankan ke atas barang kemas yang diperbuat daripada emas 916 (22 karat) mendapati, bacaan kandungan/ketulenan emas adalah antara 91.6 sehingga 95.4 peratus.

"Bacaan ini menunjukkan bahawa emas 916 yang dijual di kedai-kedai emas yang diperiksa pada kali ini adalah betul dan tiada penyelewengan dikesan," katanya.