GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di Tanjung Bungah di sini pada pagi Isnin.
Sumber berkata, mangsa berusia enam tahun itu dikatakan terjatuh dari tingkat sembilan hotel tersebut setelah sebuah kerusi ditemui di salah sebuah bilik yang baharu dibersihkan di tingkat berkenaan.
"Terdapat sebuah kerusi dijumpai berdekatan tingkap di salah sebuah bilik di tingkat sembilan dan dipercayai mangsa telah memanjatnya lalu terjatuh.
"Pintu bilik tersebut tidak berkunci kerana baharu sahaja dibersihkan. Kemungkinan mangsa mahu mengambil pelampungnya yang terjatuh dari tingkap kerana dia dipercayai baharu habis mandi di kolam renang hotel," katanya.
Kata sumber lagi, mangsa bersama keluarganya dari Sungai Petani, Kedah datang bercuti di sini dan sepatutnya mendaftar keluar pada Isnin.
"Keluarga itu datang ke sini kerana mahu menghantar anak sulung mereka ke sebuah kolej di Balik Pulau," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, polis menerima maklumat tentang kejadian pada jam 12.20 tengah hari.
"Buat masa sekarang, saya hanya boleh sahkan kejadian memang berlaku. Mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ringkas melalui mesej di aplikasi WhatsApp.