Pekemas gesa sekat jualan arak Timah

Iklan
Faizan Mohd Nor (kanan) selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa pihak berkuasa menghentikan segera penjualan wiski jenama Timah keluaran syarikat tempatan yang dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Presidennya, Faizan Mohd Nor berkata, pihaknya memohon siasatan dijalankan ke atas semua pihak yang terlibat kerana jenama arak 'Timah' itu seakan-akan mempersendakan nama anak bongsu Nabi Muhammad iaitu Fatimah.

Iklan
Iklan

"Kami meminta kertas siasatan dibuka dengan memanggil pihak yang terlibat secara langsung termasuk pengarah syarikat berkenaan dan pihak kementerian berkaitan yang memberi kelulusan penggunaan nama Timah yang begitu mengelirukan.

"Menteri agama yang begitu lantang dalam pengharaman arak di Malaysia turut diminta menjawab isu penggunaan nama Timah yang seakan menghina Islam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin.

Iklan

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan tarikh pelancaran dan tindakan syarikat terbabit yang menyiarkan majlis pelancaran minuman keras tersebut secara terbuka di media sosial.

Menurut Faizan, lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) akan menyuarakan bantahan jika tindakan tegas dan telus tidak diambil dengan segera.

Iklan

"Kita mahu tindakan diambil segera dalam isu ini. Jika tidak, saya yakin lebih ramai NGO akan tampil untuk menuntut perkara sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit.