LUMUT - Cubaan 21 pendatang tanpa izin warga Indonesia memasuki negara ini gagal selepas bot dinaiki mereka ditahan Maritim Malaysia kira-kira 15.5 batu nautika di barat laut Kepulauan Sembilan, dekat sini Sabtu lepas.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan ditahan bot Perkasa 1223 yang segera ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bot kayu Indonesia yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu menceroboh perairan negara sebelum hanyut sejak dua hari lalu selepas mengalami kerosakan enjin.
"Hasil pemeriksaan terdapat 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Akibat kerosakan bot yang dinaiki, mereka terpaksa makan mi segera dengan air laut bagi meneruskan hidup,” katanya ketika sidang akhbar di Jeti Pusat Tahanan Vessel Kampung Bharu, Sitiawan, di sini pada Isnin.
Shahrizan berkata, hasil maklumat juga mendapati, terdapat enam tekong warga Indonesia yang mengendalikan bot berkenaan, namun mereka telah melarikan diri dengan sebuah lagi bot dari Indonesia dan meninggalkan kesemua pendatang asing berkenaan di atas bot yang rosak.
"Kita percaya ia adalah satu sindiket. Modus operandi mereka, setelah berlepas dari Indonesia, mereka akan menunggu bot nelayan tempatan kita (Malaysia) yang dikendalikan warga Indonesia di sempadan perairan negara dan memindahkan kesemua pendatang asing tersebut untuk menceroboh masuk ke Malaysia.
"Bayaran pergerakan untuk seorang dari Malaysia ke Indonesia dipercayai sebanyak RM1,500, manakala dari Indonesia ke Malaysia RM1,200,” katanya.
Menurutnya, kesemua pendatang asing terdiri terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita berumur lingkungan 17 hingga 61 tahun itu, ditahan reman 14 hari bermula Sabtu lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
"Hasil siasatan juga mendapati, kesemua mereka pernah ke Malaysia sebelum ini dan bot berkenaan berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia jam 3 pagi pada 14 Oktober lalu menuju ke Sekinchan, Selangor,” katanya. - Bernama