PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) enggan menekan butang panik melihatkan prestasi skuad lelaki negara yang masih gagal mengakhiri kemarau 29 tahun untuk menjulang Piala Thomas.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sedang menyiapkan pasukan yang lebih mantap untuk menghadapi Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand dan Sukan Olimpik Perancis 2024.
Bagaimanapun, beliau mengakui Malaysia sememangnya ketinggalan agak jauh berbanding negara jiran tetangga - Indonesia yang menjuarai Piala Thomas di Aarhus, Denmark kali ini.
"Saya akui BAM memulakan proses memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain muda, baru dua atau tiga tahun kebelakangan ini. Berbanding Indonesia, mereka telah memulakan proses itu awal lagi.
"Sebelum ini juga kita terlalu bergantung kepada pemain-pemain senior. Sebagai contoh apabila Datuk Lee Chong Wei sudah bersara, kita masih tercari-cari lagi penggantinya.
"Namun, BAM tidak gusar dan saya melihat kita masih berada di landasan tepat untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dalam beberapa tahun akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Dalam edisi Piala Thomas kali ini, langkah skuad lelaki negara yang diketuai jaguh perseorangan, Lee Zii Jia terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Indonesia.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam edisi 1992 di Kuala Lumpur dan empat kali melangkah ke final iaitu pada 1994 di Jakarta, Indonesia; 1998 di Hong Kong; 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.
Mengulas lanjut, Mohamad Norza turut menyatakan kekecewaannya walaupun skuad negara berjaya mencapai sasaran ke peringkat suku akhir.
Menurutnya, kekecewaan itu susulan kegagalan pemain utama seperti Zii Jia dan gandingan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberikan mata pada aksi suku akhir.
"Namun, pendedahan kepada kebanyakan pemain adalah perkara yang positif kerana ramai pemain yang kali pertama berada dalam skuad Piala Thomas. Saya harap mereka akan terus berkerja kuat dan terus konsisten.
"Saya juga sudah beritahu Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dan jurulatih yang lain untuk beri pendedahan kepada pemain muda agar mereka dapat mengawal tekanan daripada segi mental dan fizikal di peringat tertinggi.
"Dalam saingan Piala Uber pula, pasukan wanita kita memang masih jauh berbanding negara lain. Kita juga menghantar pemain yang sangat muda dengan yang paling muda adalah berumur 17 tahun.
"Kita juga agak ketinggalan selepas Goh Jin Wei telah bersara. Namun, saya rasa kita masih mempunyai masa untuk mempercepatkan proses dari segi kemajuan untuk memberikan lebih banyak lagi pendedahan kepada pemain muda,” jelasnya.