PIALA Thomas dan Piala Uber melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.
Seperti dijangka, barisan pemain wanita China terus kebal apabila menjuarai Piala Uber. Bagi Piala Thomas, Indonesia mengakhiri penantian selama 19 tahun dengan menundukkan China dengan mudah.
Satu perkembangan yang agak menarik dapat disaksikan dalam kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber kali ini ialah munculnya ramai pemain muda yang rata-rata berumur dalam lingkungan 21- 25 tahun.
Negara kita, Malaysia turut ketinggalan membariskan pemain-pemain baharu. Kita memang tidak mengharapkan mereka membawa pulang piala, namun sudah memadai kalau menunjukkan semangat melawan yang tinggi.
Hasilnya, biarpun sudah mencuba sedaya-upaya, mutu permainan kita masih gagal menandingi negara-negara lain seperti China, Indonesia, dan Jepun.
Negara-negara lain pun mempertaruhkan pemain-pemain muda. Tetapi lihatlah bagaimana cara permainan mereka yang begitu baik seperti pemain yang berpengalaman.
Di manakah silap dan kekurangan kita sebenarnya? Dalam era 60an hingga 80an, negara kita amat digeruni dengan melahirkan ramai pemain badminton yang hebat. Namun sesudah tahun 2021, dengan bersaranya Datuk Lee Chong Wei, kita tercari-cari pemain-pemain yang benar-benar mampu membawa cabaran untuk negara.
Kali terakhir kita meraih juara Piala Thomas ialah pada tahun 1992. Sudah hampir 30 tahun kita gagal membawa pulang Piala Thomas ke tanah air. Apatah lagi Piala Uber yang tidak mempunyai harapan sedikit pun untuk kita.
Bukan sahaja sukan badminton, negara kita menghadapi masalah sama untuk melahirkan pemain-pemain muda berpotensi dalam beberapa jenis sukan.
Contohnya, sukan bola sepak, sukan yang paling popular di negara kita sehingga hari ini masih gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan di peringkat antarabangsa.