Cabar diri buka bisnes ATV masa PKP

Iklan
Perniagaan melibatkan sukan ekstrem itu dijalankan pada 15 Julai lalu selepas pembinaan trek di Batu Maung, Bayan Lepas selama enam bulan.

TINDAKAN berani dua anak muda memulakan perniagaan melibatkan aktiviti sukan lasak bermotor ATV ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19 berbaloi apabila usaha mereka mendapat sambutan luar biasa.

Mohd Zuhair Hizami Mohd Zainol Abidin dan Mohamad Hafifi Noorzain mula menjalankan perniagaan sukan ekstrem itu pada 15 Julai lalu selepas membina trek di Batu Maung, Bayan Lepas selama enam bulan.

Iklan
Iklan

Dua rakan baik yang berusia 29 tahun itu mula membina trek untuk menjalankan perniagaan itu di tanah wakaf yang disewa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

Mohd Zuhair berkata, dia dan Mohamad Hafifi mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM100,000 untuk perniagaan mereka yang diberi nama Pantai Esen ATV Extreme Park.

Iklan

"Saya baru berhenti kerja sebagai kontraktor kerana mahu menumpukan kepada perniagaan ini. Saya dan rakan memberanikan diri menjalankan perniagaan ketika negara sedang bergelut dengan Covid-19 dan melaksanakan PKP.

"Kami cabar diri sendiri dan percaya rezeki itu ada di mana-mana jika berusaha bersungguh-sungguh. Niat yang ikhlas akan dipermudahkan dan alhamdulillah, pada 15 Julai lalu, kami berjaya membuka perniagaan sukan lasak ini," katanya ketika ditemui di Permatang Damar Laut di sini baru-baru ini.

Iklan

Kata anak jati Pulau Pinang itu lagi, dia turut dibantu 10 rakan lamanya dari proses pembinaan trek sehingga semuanya berjalan lancar.

"Cabaran utama kami ketika ingin memulakan perniagaan ini ialah membina trek ini. Ia terletak di atas bukit dan tidak mempunyai laluan yang besar. Ia hanya boleh diakses menggunakan motosikal atau berjalan kaki sahaja.

Pantai Esen ATV Extreme Park menyediakan lima cabaran antaranya cerun dan kebun getah.

"Kami terpaksa membuat kerja sedikit demi sedikit kerana kekangan laluan untuk membawa masuk jentera besar ke sini. Trek itu khusus untuk laluan ATV.

"Kami perlu mencuba terlebih dahulu trek ATV ini sebelum dibuka kepada orang awam untuk faktor keselamatan.

"Ini kerana, sukan ini lasak dan memerlukan penyediaan laluan yang benar-benar selamat," katanya.

Untuk permulaan, mereka hanya membeli enam buah ATV namun kini sudah bertambah menjadi 12 buah.

"Setiap sebuah ATV berharga RM8,000 hingga RM9,000 mengikut jenis. Setiap trip RM80 dikenakan setiap seorang dan hanya 10 ATV digunakan manakala dua lagi disimpan untuk hal kecemasan.

"Semua hal membaiki dan penyelenggaraan ATV kami buat sendiri.

"Semuanya kami buat sendiri. Ini yang memberi kepuasan kepada kami, tambahan pula saya dan Mohamad Hafifi serta 10 yang lain memang rapat dari kecil. Oleh itu, persefahaman itu sentiasa ada," katanya.

Pihaknya tidak sangka, dalam keadaan negara berhadapan dengan Covid-19, perniagaannya sekelip mata menjadi popular selepas keindahan Pantai Esen tular di media sosial.

"Segala-galanya berlaku dengan pantas. Kami bersyukur kerana usaha kami untuk memperkenalkan Pantai Esen mula mendatangkan hasil apabila kesemua slot bermula jam 9 hingga 6 petang telah penuh pada bulan ini.

"Bagi slot November pula, untuk hujung minggu slotnya telah penuh dan hanya tinggal slot untuk hari biasa sahaja," katanya.

Bagi mereka yang ingin mencuba permainan sukan lasak ATV yang disediakan oleh Pantai Esen ATV Extreme Park, anda boleh meninjau laman sosial seperti Pantai Esen ATV Extreme Park (Facebook), pantai_esen_atv_extreme_park (Instagram) dan @penang.atv (Tik Tok).