Kumpul hampir 1,000 jersi Penang FA demi nilai sentimental

Iklan
Mohd Almie (depan) bersama rakannya menyusun koleksi jersi pasukan bolą sepak Penang FA hampir 1,000 helai jersi pasukan itu untuk dijadikan sebagai koleksi dan memorial berharga. - Foto Bernama

SEKUMPULAN pengumpul jersi pasukan bola sepak Penang FA, dikenali sebagai Kolektor Jersi Penang mengambil inisiatif menghimpunkan hampir 1,000 helai jersi pasukan negeri itu untuk dijadikan koleksi dan kenangan berharga.

Wakil kumpulan itu, Mohd Almie Che Me, 42, berkata, selain mempunyai nilai sentimental yang tinggi, koleksi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengabadikan setiap perjalanan pasukan Penang FA bermula dari era Liga Premier sehinggalah Liga Super.

Iklan
Iklan

"Lebih manis apabila koleksi jersi tersebut kami dedikasikan dengan menyusun kesemua jersi di padang mini Permatang Rawa, dekat Bukit Mertajam, sempena ulang tahun Penang FA ke-100 yang disambut secara tertutup baru-baru ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini pada Ahad.

Katanya, kebanyakan koleksi jersi Penang FA diperoleh daripada bekas pemain sendiri melalui pembelian, pertukaran barangan dan ada juga diberi secara percuma.

Iklan

"Antara koleksi peribadi yang mempunyai nilai sentimental tinggi ialah jersi yang pernah disarungkan oleh bekas pemain tengah Penang FA Ng Kok Heng ketika perlawanan akhir Piala FA antara tuan rumah dengan pasukan Terengganu di Stadium Negeri Batu Kawan sekitar tahun 2000.

"Jersi yang disarungkan Ng Kok Heng, ketika itu lebih dikenali sebagai Doraemon, saya anggap mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana saya bukan sahaja begitu meminati kelincahannya di padang, malah jersi ini pemberiannya secara peribadi kepada saya," katanya yang memiliki koleksi 80 helai jersi Penang FA dari era awal 80-an sehingga sekarang.

Iklan
Pengumpul jersi menyusun koleksi jersi pasukan bolą sepak Penang FA.
 - Foto Bernama

Memulakan aktiviti mengumpul jersi pasukan tersebut secara suka-suka sejak 2010, Mohd Almie mengakui salah satu koleksi jersi Penang FA miliknya pernah ditawarkan harga RM1,000 oleh pengumpul jersi pasukan bola sepak tempatan, namun tawaran tersebut ditolaknya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli Kolektor Jersi Penang Mohd Azhar Nordin, 36, berkata, dengan adanya koleksi jersi Penang FA termasuk jersi berusia 'vintage' ini, ia bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, malah memberi motivasi kepada pasukan itu sendiri.

"Inisiatif ini adalah bagi tatapan generasi akan datang dalam menghayati perjalanan sejarah bola sepak Pulau Pinang dan sebagai sokongan kami kepada pasukan,” kata pekerja swasta yang mula mengumpul koleksi jersi pasukan tersebut sejak 2015. - Bernama