ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru semua lapisan masyarakat agar menghayati dan mengamalkan sirah kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan membudayakan sunah-sunah baginda dalam kehidupan.
Sultan Sallehuddin bertitah, pengutusan Rasulullah SAW adalah rahmat kepada sekalian alam dan menjadi teladan kepada seluruh manusia dan setiap perbuatan serta tutur kata baginda merupakan suatu sunah yang dituntut untuk diteladani.
Baginda bertitah, sunah bererti jalan atau kehidupan merangkumi percakapan, perbuatan, peribadi dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang disampaikan melalui persetujuan para sahabat.
"Mengamalkan amalan sunah akan mendatangkan kesempurnaan dalam hidup. Ini kerana sunah adalah bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti dengan meraikan segala berkaitan manusia seperti keperluan dan keinginan mereka.
"Sesungguhnya, setiap perkara yang diajarkan Nabi Muhammad SAW itu kekal relevan pada setiap zaman dan keadaan," titah Sultan Sallehuddin sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1443H/2021M Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook pada Selasa.
Baginda bertitah, ketika pandemik Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia, terdapat kaedah-kaedah pencegahan untuk menangani penularan wabak itu telah dinyatakan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
"Hakikat virus Covid-19 ini adalah sejenis wabak berjangkit, pakar-pakar yang berautoriti telah menyarankan kaedah-kaedah pencegahan selari dengan ajaran Rasulullah SAW iaitu pencegahan penyakit melalui udara, titisan air dan sentuhan.
"Amalan kuarantin juga merupakan adaptasi daripada hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud: 'Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut, janganlah kamu keluar dari situ'," titah baginda.
Baginda bertitah, jelaslah bahawa sunah yang diajarkan Rasulullah SAW membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada kehidupan di akhirat, malah di dunia.
Sultan Sallehuddin mengingatkan orang yang sentiasa memerhati serta menekuni kehidupan Nabi Muhammad SAW dan sirahnya akan sentiasa terpandu ke arah kebaikan dan kesempurnaan kehidupan.
Sultan Sallehuddin turut menitahkan seluruh rakyat agar sentiasa bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan Kedah berterusan sepanjang masa.
"Ia sebagai strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik ini, selain mengukuhkan perpaduan sesama masyarakat dan membudayakan nilai-nilai murni selaras dengan garapan akhlak terpuji ajaran Nabi Muhammad SAW," titah baginda.
Mengakhiri titah, Sultan Kedah menzahirkan rasa amat sukacita dengan penganjuran Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Darul Aman pada tahun ini yang berlangsung secara dalam talian.
Sultan Sallehuddin juga berkenan menganugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah dan penerima Anugerah Khas terdiri daripada petugas-petugas barisan hadapan dan individu memiliki suri teladan positif yang boleh dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat.