Kempen Emas 2 Kilo Bank Rakyat tawar hadiah lebih RM500,000

Iklan
Kempen Emas 2 Kilo yang berlangsung 15 Oktober sehingga 15 Januari 2022.

SHAH ALAM - Bank Rakyat menganjurkan ‘Kempen Emas 2 Kilo’ sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-Rahnu.

Pada masa sama, menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan kemudahan pajak gadai berlandaskan syariah.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kempen yang berkonsepkan ‘Gadai dan Menang’ itu berlangsung selama tiga bulan bermula 15 Oktober sehingga 15 Januari 2022.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan hadiah berupa dua kilogram emas bernilai lebih RM500,000 ditawarkan kepada 101 pemenang dan tiada had minimum serta tempoh gadaian bagi melayakkan pelanggan menyertai kempen tersebut.

Iklan

"Hadiah berupa satu kilogram emas bagi pemenang hadiah utama dan 10 gram emas setiap seorang bagi hadiah sagu hati untuk 100 pemenang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kempen itu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat mengenai nilai emas sebagai aset berharga.

Iklan

Katanya, ia boleh digadaikan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya usahawan dalam menangani situasi pasca pandemik Covid-19 serta mampu memacu kembali ekonomi masyarakat dan negara.

Sementara itu, seiring aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Bank Rakyat turut menyasar melahirkan ‘bangsa usahawan’ menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut yang menjurus kepada usaha membantu kumpulan sasar terjejas.

"Pembiayaan Pajak Gadai-i dapat membantu lebih ramai usahawan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta sebagai alternatif pembiayaan yang berupaya membangunkan perniagaan individu, khususnya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui aliran tunai segera sehingga RM350,000 dengan kadar keuntungan rendah,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 141 buah cawangan Bank Rakyat, 48 Ar-Rahnu X’Change milik Bank Rakyat dan 77 Ar-Rahnu X’Change Rakyat Management Services (RMS) di seluruh negara menawarkan kempen sejak ia dilancarkan pada tahun 2018.

Tambah beliau, perkhidmatan Pajak Gadai-i Bank Rakyat yang mula diperkenalkan pada tahun 1993 telah mendapat tempat di hati masyarakat.

"Sebagai sebuah bank yang mengamalkan perbankan patuh syariah, perkhidmatan Ar-Rahnu juga mampu membentuk persepsi positif bagi masyarakat bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah kewangan, bahkan menawarkan tempat menyimpan barangan emas dengan selamat serta terjamin.

"Pada masa sama, Bank Rakyat turut menyahut saranan MEDAC bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan, secara tidak langsung mampu membina Keluarga Malaysia yang inklusif agar keharmonian dapat dicapai bersama,” katanya.

Jelas Syed Abdul Aziz, menerusi kempen kali ini, Bank Rakyat menyasarkan kenaikan pengeluaran pembiayaan Pajak Gadai-i sebanyak 20 peratus dan pertambahan pelanggan sebanyak dua hingga lima peratus pada Disember 2021.

Ujarnya, 'Kempen Emas 2 Kilo' pada tahun lalu berjaya merekodkan peningkatan positif bagi pengeluaran pembiayaan sehingga 31 peratus iaitu sebanyak RM1.07 bilion berbanding tahun sebelumnya.

"Kempen yang berlangsung dari 15 Julai hingga 15 November 2020 menyaksikan lebih 200,000 penyertaan.

"Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Kempen Emas 2 Kilo’, pelanggan boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my; atau hubungi pusat panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454; atau kunjungi mana-mana cawangan dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat,” ujarnya.