Pejuang saran kerajaan sekat barangan luar di e-dagang

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyarankan kerajaan supaya menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platform e-dagang.

Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Armin Baniaz Pahamin berkata, ia untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan terutama industri mikro, kecil dan sederhana supaya kembali pulih.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, rakyat Malaysia membeli barangan dari China melalui platform dalam talian bernilai AS$49.4 bilion pada tahun 2020 dan merupakan negara keempat pembeli dalam talian terbesar dari segi nilai dagang kasar ketika promosi jualan 11.11 pada tahun lepas.

Menurutnya, aliran tunai keluar negara AS$49 bilion atau RM220 bilion adalah jumlah besar yang boleh dibelanjakan untuk barangan tempatan.

Iklan

"Terdapat 14.4 juta pengguna e-dagang di Malaysia dan dijangka meningkat hampir empat juta pengguna e-dagang baharu menjelang tahun 2025. Jumlah ini mewakili 77 peratus daripada jumlah populasi negara kita.

"Purata pembelian dalam talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 setahun dan dijangka akan meningkat menjadi AS$530 setahun menjelang tahun 2025. Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia juga terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah eksport,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, sekatan penjualan barangan luar negara juga dapat melindungi inisiatif dan usaha kerajaan yang telah memperuntukkan sebanyak RM4.6 bilion pada belanjawan 2020 untuk pembangunan usahawan.

Katanya, segala usaha akan terbiar jika produk dan barangan tempatan gagal bersaing dengan barangan import dari China yang jauh mempunyai kekuatan kewangan untuk mengeluarkan barangan atau produk dengan lebih kuantiti serta kualiti.

"Kerajaan juga telah banyak berbelanja besar berkempen untuk membeli barangan buatan Malaysia tetapi tanpa halangan dan kawalan akses kepada produk luar, usahawan yang masih berjuang untuk bertahan mungkin tidak lagi dapat bertahan.

"Permintaan untuk mengehadkan jualan barangan import di platform dalam talian seperti Lazada dan Shopee diterima baik dan dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia yang telah melaksanakan perintah kawalan barangan jualan dalam talian untuk 13 kategori sejak bulan Mei 2021,” ujar beliau.

Kata beliau, jumlah perbelanjaan e-dagang Malaysia dalam semua kategori produk adalah AS$5 bilion dan dijangka mencecah AS$9.6 bilion pada tahun 2025.

Jelasnya, trend pembelian dalam talian rakyat Malaysia tertumpu kepada fesyen, kecantikan, elektronik, makanan dan penjagaan diri dan lebih dari 52 peratus pembelian dalam talian dibelanjakan ke atas produk-produk luar negara.

"Produk-produk import di bawah kategori fesyen seperti jilbab, pakaian wanita muslimah, wanita bawahan muslim, pakaian muslimah, pakaian lelaki muslimah, pakaian lelaki muslimah, pakaian wanita muslimah, mukena, pakaian muslimah kanak-kanak, aksesori muslim, peralatan solat, batik dan kebaya perlu disekat dari terus dijual di semua platform dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengkaji semua kategori-kategori yang dipelopori oleh industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro dengan membantu mereka mengehadkan penjualan dalam talian oleh penjual luar supaya mereka dapat kembali bernafas sekurang-kurangnya sehingga ekonomi kita kembali pulih.

"Selain dari menyekat penjualan barangan luar, kami juga menggesa kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada sektor perkhidmatan kecil seperti tukang gunting rambut, tukang jahit dan lain-lain kerana mereka bukan sahaja terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi mereka juga masih jauh ketinggalan dalam digitasi,” katanya.