TikTok jadi platform masyarakat timba ilmu

Iklan
Guru guna aplikasi TikTok sebagai ruang perkongsian ilmu kepada pelajar. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penggunaan aplikasi TikTok sebagai satu ruang perkongsian pelbagai ilmu bukan sahaja memanfaatkan golongan pelajar tetapi juga masyarakat umum yang berbilang kaum tanpa mengira usia dan latar belakang.

Tambahan pula, setiap kandungan video menampilkan kaedah pembelajaran ringkas yang kreatif, padat dengan fakta penting untuk dipelajari dan dihayati sehingga menarik perhatian pengguna TikTok sekali gus berjaya memasuki FYP (For Your Page) iaitu halaman yang mengandungi video dan kandungan viral di platform berkenaan.

Iklan
Iklan

Guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 45, berpendapat kandungan video singkat dengan durasi maksimum tiga minit sangat membantu dalam menyampaikan maklumat agar lebih mudah difahami.

"Tujuan saya untuk berkongsi ilmu secara santai. Atas sebab itu, saya biasanya hanya buat video dalam tempoh 30 hingga 60 saat agar audiens tidak mudah rasa jemu dan bosan sekali gus mudah diterima," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau yang dikenali sebagai Sir Asai dalam kalangan pengguna TikTok memanfaatkan platform itu dengan mengajar bahasa Inggeris melalui perkongsian pelbagai tips dari segi tatabahasa, sebutan dan cara membina ayat dengan melibatkan penyertaan daripada pelajarnya.

"Kadang-kadang ada orang tidak suka belajar dengan cara formal, lagi-lagi bahasa Inggeris. Jadi apabila menggunakan pendekatan ini, secara tidak sedar kita semua belajar melalui penyampaian daripada video itu," katanya yang mengumpul lebih 447,000 pengikut di TikTok.

Iklan

Justeru, pemegang Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Exeter, United Kingdom itu berharap perkongsian tersebut dapat memberi ilmu kepada mereka yang menonton sekali gus membantu masyarakat menjadi lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa kedua itu.

Turut senada, Muhammad Syahmi Azizi, 29, yang sering memuat naik kandungan video berkaitan bahan dan fakta sejarah di akaun TikToknya @sirsyahmi92 menerusi penggunaan gambar dan bahasa yang mudah difahami.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi dari Universiti Malaya itu mahu pengguna di platform berkenaan khususnya golongan muda agar lebih celik sejarah sekali gus membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

"Acap kali saya dengar orang kata belajar sejarah itu bosan, sedangkan ia ilmu yang amat penting untuk difahami dan dihayati. Lagipun, saya menggunakan konsep lebih santai agar mereka senang faham.

"Tujuan saya hanya satu, mahu warganet 'jatuh cinta' dengan sejarah dan bila itu berlaku mereka sendiri akan mencari maklumat mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sejarah negara kita sendiri yang kaya dengan pelbagai cerita menarik," katanya yang berhasrat turun padang melakukan eksperimen sosial mengenai perkara tersebut sebagai kelainan dalam kandungan videonya.

Bahkan, Muhammad Syahmi yang mempunyai lebih 538,000 pengikut di TikTok, percaya dengan mempelajari sejarah dapat membantu melancarkan usaha perpaduan kaum sekali gus menyemai semangat cintakan tanah air.

Ammar Hamizan Muhammad Balyan, 24, pula mengambil inisiatif untuk mengajar teknik melukis di akaun TikToknya, @amamijan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pengikutnya di Instagram.

Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menganggap perkongsiannya itu bertujuan untuk menarik perhatian warganet yang ingin berjinak-jinak melukis.

"Pada saya, sesiapa pun boleh melukis, tak ada bakat pun tak apa, asalkan ada minat yang mendalam dan bersedia untuk belajar benda baharu. Jadi, bila kita fokus dan melukis dengan bersungguh-sungguh pasti lukisan itu akan menjadi," katanya yang menjadikan melukis sebagai hobi sedari kecil.

Malah, melalui gayanya yang bersahaja selain diselitkan dengan aksi humor, tidak hairanlah anak kelahiran Klang, Selangor itu berjaya mengumpul lebih 900,000 pengikut di TikTok. - Bernama